Fokus selamatkan Persis Solo, OKS tak mahu fikir kontrak 'di hujung tanduk'


  • Podium
  • Jumaat, 16 Mei 2025

Masa depan Kim Swee bersama Persis Solo masih samar-samar. — Facebook/Persissolo

BEKAS jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee bersuara mengenai nasibnya di Persis Solo dengan beliau menegaskan bahawa fokus utamanya ketika ini adalah untuk memastikan Laskar Sambernyawa kekal bersaing dalam Liga 1 musim hadapan.

Kontrak jurulatih berusia 54 tahun berkenaan bersama Persis Solo akan tamat sebaik sahaja saingan Liga 1 musim ini berakhir apabila masa depannya bersama skuad Laskar Sambernyawa juga masih belum dapat dipastikan.

Namun begitu, Kim Swee tidak mahu terlalu memikirkan soal kontraknya skuad Persis Solo masih belum berada di kedudukan yang selamat. 

BACA LAGI: Mungkin ke Persis Solo, Ong Kim Swee kongsi ada hubungi Saddil Ramdani

BACA LAGI'Bantu Persis elak penyingkiran,' Kim Swee Jurulatih Terbaik Mingguan Liga 1 Indonesia

"Untuk berbicara mengenai kontrak saya bersama Persis Solo, saya tegaskan bahawa kedudukan kita masih belum selamat,” kata bekas pengendali skuad kebangsaan itu yang memetik dari laman rasmi Persis Solo pada Rabu.

Dfahamkan, Kim Swee akan berbincang mengenai kontraknya bersama pihak pengurusan selepas saingan liga berakhir, terutamanya jika beliau berjaya menyelamatkan Persis Solo daripada penyingkiran.

“Saya faham dengan pendirian pihak pengurusan Persis Solo, pastinya mereka ingin melihat situasi terlebih dahulu. Selepas baki perlawanan liga berakhir, besar kemungkinan saya akan berbincang dengan pihak pengurusan,” jelas beliau.

Oleh itu, Kim Swee kini memberi tumpuan penuh kepada dua baki perlawanan terakhir Persis Solo. Jika Laskar Sambernyawa berjaya kekal di Liga 1, barulah beliau akan berbicara tentang masa depannya.

Tangkap layar kedudukan Persis Solo dalam saingan Liga 1.

“Tugas utama saya sekarang adalah untuk memastikan Persis Solo terus beraksi dalam Liga 1 musim depan, dan saya tidak mahu memikirkan perkara lain selain itu sehinggalah kami disahkan kekal bersaing dalam Liga 1,” katanya. 

Sebagai makluman, Persis Solo kini berada di tangga ke-13 dalam carta sementara Liga 1 dengan kutipan 35 mata. Namun kedudukan mereka masih belum selamat kerana hanya dipisahkan empat mata sahaja daripada Barito Putera yang kini berada di zon penyingkiran.

Persis Solo sekurang-kurangnya perlu mencatat satu kemenangan daripada dua baki perlawanan mereka namun untuk meraih kemenangan tersebut bukanlah sesuatu yang mudah susulan perlu berdepan dua kelab dari kelompok teratas liga iaitu Dewa United dan Persib Bandung. — Agensi 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram