
SPEKULASI mengenai masa depan Jalil Elias akhirnya terjawab apabila tular di platform X bahawa pemain berdarah Syria itu tidak akan menyambung kontraknya bersama Johor Darul Ta'zim (JDT).
Difahamkan, pemain tengah berusia 29 tahun itu dijangka meninggalkan juara bertahan Liga Super buat kali-11 berturut-turut itu dalam masa terdekat.
Berita kurang baik itu dikongsikan di laman X yang mengatakan bahawa kontrak pemain paling bernilai JDT itu bersama Harimau Selatan musim depan tidak akan diperbaharui.
BACA LAGI: Sentuhan Badrul Afzan terus ditagih, kekal kemudi skuad Peteh musim depan
BACA LAGI: Kurang menyengat di Liga Vietnam, Joao Pedro dianggap lebih tajam bersama Sang Badak
Pemain paling bernilai JDT, Jalil Elias dikhabarkan meninggalkan JDT secara percuma. — Facebook/JST
"Jalil Elias tidak akan memperbaharui kontraknya bersama Johor Darul Ta'zim dan akan beraksi secara percuma sehingga penghujung bulan ini," katanya.
Malah, menurut Transfermarkt, kontrak pemain berketinggian 1.75 meter itu itu akan tamat pada penghujung bulan ini, namun hala tuju kariernya selepas ini masih belum diketahui.
Sebelum ini, timbul khabar angin yang mengaitkan kepulangannya ke bekas kelab, San Lorenzo secara pinjaman dengan pilihan pembelian tetap. Namun, status sebenar Elias masih menjadi tanda tanya.
Untuk rekod, Elias hanya sempat beraksi selama 69 minit bersama JDT ketika perlawanan Liga Super menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada 18 Mei 2024.
Selepas itu, kelibatnya terus ‘menghilang’ daripada skuad juara Piala Malaysia 2024 itu sebelum menyertai kelab Argentina, Atletico Velez Sarsfield secara pinjaman sehingga Disember 2024.
Namun begitu, tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat oleh mana-mana pihak berhubung khabar angin tersebut setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram