Teruja tundukkan Lion City Sailors, anak buah Bojan Hodak menari terima habuan RM439


  • Podium
  • Jumaat, 08 Nov 2024

Persib Bandung meraih kemenangan pertama dalam ACL Two musim ini selepas menundukkan Lion City Sailors. — Agensi

SAINGAN Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two minggu ini menyaksikan beberapa pertembungan cukup hangat, termasuk aksi antara wakil negara, Selangor FC dan Jeonbuk Hyundai Motors yang berkesudahan dengan kemenangan kepada kelab Korea Selatan itu.

Selain itu, terdapat juga perlawanan antara dua kelab Asia Tenggara, iaitu Lion City Sailors dari Singapura serta pasukan Indonesia, Persib Bandung di Stadium Jalan Besar, Singapura pada Khamis.

Perlawanan berkenaan sememangnya cukup hangat kerana tuan rumah mendahului pada separuh masa pertama menerusi Shawal Anuar dan Maxime Lestienne yang memberi kelegaan buat mereka.

BACA LAGI: Persib Bandung, jaguh dari Korea dan Singapura boleh jadi lawan ideal Selangor di Asia

BACA LAGI: Potensi 'reunion' bersama 2 bintang Sabah boleh direalisasikan Bojan Hodak di Persib Bandung

gelandang-persib-tyronne-del-pino-melakukan-selebrasi-seusai-5lvo

Del Pino menjaringkan gol ketiga untuk memastikan kemenangan Persib Bandung. Agensi

Namun, kelekaan benteng pertahanan menyaksikan pasukan bimbingan Aleksandar Rankovic itu berputih mata apabila pihak lawan menjaringkan tiga gol pada penghujung permainan.

Jaringan David da Silva pada minit ke-82 diikuti gol Mateo Kocijan dan Tyronne del Pino pada masa kecederaan untuk memastikan kemenangan 3-2 diraih Persib Bandung.

Keputusan itu amat diraikan anak-anak buah Bojan Hodak kerana ia merupakan tiga mata pertama mereka di pentas Asia musim ini selepas hanya meraih keputusan seri sebanyak sekali dalam tiga aksi terakhir.

Keraian atas kenenangan berkenaan dituruti sehingga ke bilik persalinan apabila tular satu video selepas perlawanan menyaksikan pemain Persib Bandung girang menari beramai-ramai.

Tidak cukup dengan itu, mereka yang beratur sambil menyanyi turut menerima sekeping wang bernilai $100 (RM439.25) daripada seseorang yang difahamkan antara individu tertinggi dalam kelab berkenaan.

Antara yang kelihatan girang ketika meraih habuan itu ialah bekas penjaga gol Kuala Lumpur (KL) City FC, Kevin Ray Mendoza dan pemain tengah pasukan kebangsaan Indonesia, Marc Klok.

Ganjaran tersebut sememangnya berbaloi buat skuad Pangeran Biru yang bergelut di atas padang musim ini, lebih-lebih lagi dalam ACL Two dengan mereka kini berada di tangga ketiga.

Selepas ini, mereka akan berdepan Borneo FC Samarinda dalam saingan Liga 1 Indonesia sebelum meneruskan kempen di pentas Asia menentang pasukan Thailand, Port FC di tempat lawan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram