Terpaksa berputih mata, Lion City Sailors calar rekod kebal KL City


  • Podium
  • Khamis, 09 Jan 2025

Pemain-pemain LCS meraikan jaringan yang dihasilkan oleh Wright pada minit ke-27 permainan. — Lion City Sailors

KUALA LUMPUR City FC (KL City) terbang ke Singapura untuk menghadapi cabaran Lion City Sailors (LCS) dalam perlawanan ketiga Kumpulan B Kejuaraan Kelab Asean (ACC) di Stadium Jalan Besar, Singapura pada Khamis (9 Januari).

Dalam perlawanan ketiga ACC itu, KL City dilihat bergelut sejak awal permainan dengan permukaan padang sintetik di Stadium Jalan Besar apabila segala serangan The City Boys tidak menemui hasil.

Pengendali KL City, Miroslav Kuljanac yang tempang tanpa Ivan Motika dan Brendan Gan sukar untuk menembusi barisan pertahanan LCS yang rata-ratanya dibarisi pemain kebangsaan Singapura.

BACA LAGI: 'Dia nak lihat saya atas padang', Liridon Krasniqi beri bayangan kembali beraksi

BACA LAGI: [VIDEO] PSSI lantik Patrick Kluivert 'buang' STY, 3 bintang berpeluang kembali perkasa Sang Garuda

Manakala, pengendali LCS, Aleksandar Rankovic pula membariskan seramai enam pemain import dan bintang naturalisasi Singapura, Song Ui-yong untuk merobek gawang gol The City Boys.

Perancangan taktikal dilakukan Rankovic itu menemui hasil apabila, bekas pertahanan Australia, Bailey Wright berjaya menjaringkan gol menerusi tandukan sepakan penjuru pada minit ke-27 permainan.

Ia sekali gus memberikan tekanan kepada pemain-pemain KL City yang mahu terus memperkukuhkan kedudukan mereka dalam Kumpulan B.

Separuh masa pertama memperlihatkan kedua-dua pasukan beraksi dengan sangat agresif apabila Paulo Josue (KL City) dan Rui Pires (LCS) dilayangkan kad kuning sebelum tamat separuh masa pertama.

Keputusan separuh masa pertama kekal 0-1 dengan KL City ketinggalan hasil jaringan Wright yang menewaskan Azri Ghani.

Bersambung babak kedua perlawanan, LCS terus mengasak KL City untuk membuktikan bahawa mereka antara kelab terkuat di rantau Asean apabila berjaya mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2).

Pada minit ke-63 pemain import LCS, Maxime Lestienne hampir membuatkan jantung Azri Ghani gugur apabila sepakan jarak jauhnya menggegarkan gawang gol KL City.

Dua minit kemudian, gerakan satu-dua Lestienne bersama Bart Ramselaar menghasilkan jaringan kedua buat kelab Singapura itu selepas pemain kelahiran Belgium itu mudah menyungkit bola masuk ke gawang gol.

Jaringan Lestienne itu memberikan kelebihan buat LCS mengandakan jaringan 2-0 sekali gus mencalarkan rekod KL City dalam kejohanan ACC.

Ini kerana KL City tidak pernah tewas dalam dua perlawanan awal kejohanan ACC selepas menundukkan Borneo FC dan Kaya FC.

Tamat perlawanan KL City tewas dengan keputusan 0-2 sekali gus turun satu anak tangga di tempat ketiga dalam Kumpulan B.

Pada Ahad (12 Januari), KL City akan bertemu Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dalam aksi Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram