
DUA selebriti tanah air menjadi tumpuan ramai apabila kedua-duanya selamat mendirikan rumah tangga pada Jumaat yang penuh berkah.
Selain wajah menawan, penampilan anggun pengantin perempuan, Eyka Farhana yang selamat diijabkabulkan dengan Muhammad Akhyar Abdul Rashid, 26, dan Rania Al Sadat, 24, bersama pasangannya, Sufian Suhaimi, 33, menjadi perhatian ramai.
Kedua-dua pengantin perempuan itu masing-masing tampil dalam busana nikah yang sopan namun cukup memukau.
BACA LAGI: Kembalinya zaman retro! Pelapik bahu gaya 80-an tonjol cita rasa wanita moden, sofistikated
Eyka memilih rekaan Teh Firdaus pada majlis pernikahannya.
Eyka Farhana, 30, sah bergelar isteri kepada pemain bola sepak kebangsaan dan tonggak utama Terengganu FC (TFC) dalam satu majlis akad nikah sederhana yang berlangsung secara tertutup.
Pelakon itu tampil elegan menggayakan busana putih rekaan pereka fesyen terkenal, Teh Firdaus yang mempersembahkan sentuhan moden tetapi kekal sopan.
Lengkap dengan veil ringkas berhias manik halus, Eyka memilih untuk menutupi wajahnya di sebalik fabrik perhiasan kepala yang jarang ketika berjalan ke pelamin.
Penampilannya dipuji ramai netizen yang menyifatkan gaya itu sebagai eksklusif dan abadi.
Sementara itu, penyanyi, Sufian Suhaimi turut melangsungkan pernikahan dengan wanita pilihan hati, Rania Al Sadat dalam satu majlis tertutup di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur sekitar pukul 9.30 pagi.
Dengan hanya sekali lafaz, Sufian sah bergelar suami kepada Rania dengan disaksikan ahli keluarga dan kenalan rapat kedua-dua belah pihak.
Sufian Suhaimi (tengah) bersama pasangannya, Rania (kanan).
Rania tampil anggun dengan busana putih diserikan veil perician sarat yang menjadikan penampilannya tampak mewah dan eksklusif.
Menjengah ke ruangan komen, bagi peminat tidak melepaskan peluang memberikan pujian terhadap busana dua pengantin ini.
"Awww my fav couple dah sah hari ini, Tahniah kedua-duanya. Semoga kekal sampai bila-bila," tulis Nur Ain.
"Alhamdulillah tahniah. Sukanya baju," tulis Liyana Nawar.
Dalam majlis pernikahan tersebut, Sufian dinikahkan oleh bapa Rania, Syaraff Al Sadat, dengan mas kahwin berupa satu dinar emas dan tiga dulang hantaran berbalas lima termasuk sebentuk cincin dan gelang emas buat Rania.
Pasangan tersebut berkenalan pada tahun 2022 dan bertunang awal Februari 2025, sebelum sepakat bernikah dua bulan kemudian.
Menambahkan lagi makna pada hari bahagia itu, Sufian menghadiahkan peminat sebuah lagu baharu berjudul Saksi yang merupakan ciptaan Sirkhan, Namjan dan Rinkarnaen.
Lagu yang membawa kisah cinta mereka itu disertakan dengan muzik video eksklusif yang boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Sufian mulai pukul 2 petang hari yang sama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter , Facebook , Instagram , WhatsApp Channel dan Telegram