
MASA depan penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin terus menjadi topik perbincangan dalam kalangan penyokong serta pemerhati bola sepak tempatan terutama selepas beberapa tahun bergelut mencari tempat dalam pasukan utama di luar negara.
Pemain berusia 23 tahun berkenaan dikhabarkan akan kembali mewarnai saingan Liga Malaysia (Liga M) selepas hampir lima tahun berkelana di Eropah termasuk mewakili kelab Jepun, Yokohama SCC.
Menerusi laporan media, Luqman Hakim sedang meneliti beberapa tawaran daripada kelab-kelab Malaysia termasuk Negeri Sembilan FC (NSFC) untuk mendapatkan minit permainan memandangkan kontrak bersama KV Kortrijk dijangka tamat pada Jun depan.
BACA LAGI: Masa untuk pulang? Selangor-NSFC-Kedah boleh cuba nasib pikat Luqman Hakim
BACA LAGI: Selain 5 pemain lokal, CEO NSFC sanggup terbang ke Jepun cari kawan untuk Sasaki
Susulan masa depan yang masih belum dikongsikan itu, penyokong bola sepak domestik mula mempersoalkan sama ada penyerang itu perlu kembali ke Liga Super atau meneruskan perjuangannya di luar negara.
Menurut pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli, ekosistem bola sepak di Malaysia ketika ini belum cukup stabil bagi kebanyakan pasukan, kecuali satu atau dua kelab yang mempunyai pengurusan dan struktur yang kukuh.
"Jadi kalau Luqman Hakim rasa sudah puas berguru di luar memang elok sangatlah dia pulang tetapi jangan salah pilih pasukan.Saya juga melihat kerjaya Luqman Hakim di luar negara tidaklah terlaku menonjol.
"Rasanya setelah beberapa tahun dengan beberapa kelab hingga ke Liga J3 dia pun bukan pemain utama, sering dibangku simpanan. Sebagai penyerang pula dalam tempoh dua tiga tahun ini jumlah jaringannya terlalu sedikit. Tidak langsung mengambarkan kehebatannya," katanya kepada Majoriti.
Ke mana destinasi Luqman Hakim (tengah) selepas ini?
Untuk rekod, sejak menyertai Yokohama pada pertengahan Januari lepas, Luqman Hakim mendapat peluang untuk tampil dalam sembilan perlawanan dalam semua kejohanan bersama pasukan yang sudah tersingkir ke divisyen keempat itu.
Pekan menambah, Luqman dilihat belum mencapai potensi yang pernah diramalkan ketika dinobatkan antara bakat paling menyerlah keluar dari Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan keadaan itu juga menyaksikan beliau sering tersisih daripada skuad utama Harimau Malaya.
"Dia sudah berkelana hampir lima tahun. Itu satu tempoh yang lama sebagai pemain muda negara yang pernah dianggap paling berbakat dan sepatutnya dia sudah meletup. Sayang dia juga tidak menjadi tarikan utama dan tenggelam untuk terpilih bersama skuad Harimau Malaya.
"Ini suatu kerugian kepada Luqman Hakim sendiri dan juga kepada negara. Dia sudah boleh memikirkan hala tuju baharunya kerana masa untuk Luqman semakin suntuk," jelasnya.
Memberi solusi untuk masa depan Luqman Hakim, Pekan mencadangkan agar pemain muda negara itu mempertimbangkan untuk beraksi di liga negara-negara Asia Tenggara sebagai satu bentuk pemulihan semangat dan keyakinan diri.
Arif Aiman muncul pemain pertama dinobatkan sebagai MVP buat kali keempat berturut-turut dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2024-2025. — Facebook/JDT
Cadangan tersebut juga boleh membantunya mengejar tahap penyerang sayap kebangsaan, Arif Aiman Hanapi yang sudah mencapai pelbagai kejayaan bersama kelabnya iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) baik dalam negara atau di peringkat Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).
“Dulu memang kita anggap Luqman Hakim memang lebih menonjol daripada Arif Aiman selepas bergraduan dari AMD. Malangnya apabila dia ke Belgium bakatnya tidak berkembang dan sering terperap.
"Manakala Arif Aiman bertuah dapat bersama sebuah kelab yang hebat dikelilingi pemain-pemain hebat serta pengurusan kelab yang sangat profesional. Kerjayanya berkembang dengan sangat positif. Arif membuktikan dia sehebat malah lebih hebat daripada pemain import.
"Dia dinobatkan penyerang terbaik negara dan pemain paling bernilai dalam liga Malaysia. Arif Aiman juga sudah mula digeruni di peringkat saingan ACLE dan antara penyerang yang digeruni. Dia juga sudah menjadi perhatian beberapa kelab di Eropah dan Asia. Jadi jelaslah Arif Aiman kini berada pada tahapnya yang tersendiri," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram