Masa untuk pulang? Selangor-NSFC-Kedah boleh cuba nasib pikat Luqman Hakim


  • Podium
  • Jumaat, 09 Mei 2025

Ke mana destinasi Luqman Hakim (tengah) selepas ini?

SATU lagi musim sudah berlalu dengan pemain negara, Luqman Hakim Shamsudin sudah menamatkan tempoh pinjamannya bersama YSSC Yokohama di Jepun.

Kembalinya dia KV Kotrijk di Belgium, menimbulkan persoalan, apakah tajuk seterusnya buat Luqman dalam kariernya?

Mungkin tajuk seterusnya adalah kembali ke Malaysia dengan beraksi di Liga Super. Jika ya, ke mana destinasi sesuai?

BACA LAGI: Tak tertarik 'rumors' Luqman Hakim, fans Terengganu lebih idamkan Syafiq Ahmad

BACA LAGI: Setuju pandangan CEO, fans Terengganu terbuka terima kehadiran Luqman Hakim

Kedah Darul Aman FC

Prospek untuk menyaksikan kepulangan Luqman ke Liga Malaysia dapat dilihat jika dia menyarung jersi Kedah Darul Aman FC.

Dengan Sang Kenari sedang berjuang untuk hidup, mungkin mereka boleh cuba berjimat dengan meminjam Luqman sementara dia masih digajikan oleh Kotrijk.

Syafiq Ahmad dikatakan tidak lagi bersama Kedah. — Kedah Darul Aman FC

Jika kelab mampu mendapatkan Ricardo Quaresma, mereka juga boleh cuba 'kawtim' mendapatkan Luqman dengan cara usaha sama antara Kedah dan pihak penaja.

Luqman boleh menjadi sebahagian daripada watak babak kebangkitan Kedah musim hadapan. Dengan perginya Syafiq Ahmad, dia boleh mengisi kekosongan tersebut.

Negeri Sembilan FC

Selain Kedah, satu destinasi lain dilihat sesuai dengan Luqman adalah menyertai Negeri Sembilan FC.

Musim ini, Negeri Sembilan mungkin dilihat longlai dengan mereka menamatkan Liga Super di kedudukan kedua terakhir. Namun begitu, mereka masih mempunyai potensi untuk bangkit.

Sasaki merupakan arkitek kepada serangan Negeri Sembilan. — Negeri Sembilan FC

Dengan khabar angin mengatakan Safawi Rasid bakal beraksi bersama mereka. Ia menampakkan skuad Jang bersedia untuk menambah baik pasukan sekali gus lebih garang musim hadapan.

Mereka juga sudah mempunyai Takumi Sasaki, pemain tengah menyerang yang kreatif. Sudah pasti, Sasaki boleh membantu Luqman mengumpan hantaran-hantaran cantik yang boleh disudahkan kepada jaringan.

Selangor FC

Destinasi ketiga yang boleh menjadi persinggahan Luqman adalah dengan kembali semula ke Selangor FC.

Luqman dan Selangor bukanlah satu perkara yang asing kerana pemain itu pernah menyertai skuad kedua Gergasi Merah sebelum terbang ke Belgium.

Luqman pernah bersama Selangor II sebelum ke Belgium. — Agensi

Dengan kembalinya ke Selangor, Luqman mungkin sesuai dengan falsafah Katsuhito Kinoshi yang cenderung memberikan peluang kepada pemain muda untuk bersaing.

Musim seterusnya amat penting buat perkembangan Luqman sebagai pemain. Kelab yang tepat dapat membantunya untuk terus maju dalam kariernya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram