
KEPUTUSAN untuk Sri Pahang FC menarik diri daripada Liga Super jelas menganggu fikiran penyokong mereka yang resah dengan apa yang akan tiba selepas ini.
Jika benar Tok Gajah menarik diri, penyokong berasakan kehidupan mereka seakan kosong kerana tiada lagi kelab untuk mereka sokong di kancah bola sepak tempatan.
Itulah yang dirasai oleh penyokong Sri Pahang, Muhammad Saifullah Suhaimi yang masih berharap pengurusan Sri Pahang akan membuat pusingan U, sekali gus terus berada dalam Liga Super.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Saya tiada masa untuk tunggu', Syazwan Andik sah tinggalkan Sri Pahang
BACA LAGI: Bintang Sri Pahang, Penang dan Perak wajar disambar sertai revolusi bola sepak Kelantan
Muhammad Saifullah Suhaimi
Baginya, Sri Pahang perlu sentiasa ada supaya mereka boleh menghadirkan cabaran kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam merebut kejuaraan tempatan seperti Tok Gajah lakukan pada Piala Malaysia musim 2024/2025.
"Sebagai penyokong Sri Pahang, kami amat tidak bersetuju jika kelab ini memilih untuk tidak beraksi musim depan. Pasukan Sri Pahang wajib ada dalam kancah liga untuk terus beri saingan kepada pasukan lain terutama JDT. Kita tahu kekuatan mereka, tapi tak salah untuk bersaing," kata Saifullah menerusi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Saifullah berharap agar ada pemilik baharu yang sedia menyelamatkan kelab daripada terus terkubur. Baginya, masih ada penyokong Tok Gajah yang sedia untuk bersama mengharungi segala rintangan.
Baginya, kehidupan akan menjadi sunyi sekiranya Sri Pahang hilang daripada peta bola sepak Malaysia.
"Kami hanya mampu menunggu pemilik baharu untuk ambil alih. Situasi bola sepak Sri Pahang tidak sama macam pasukan lain. Tapi kami masih percaya, pasukan ini belum berakhir. Masih ada yang sayang, masih ada yang setia dan sedia bersama.
"Kalau Sri Pahang buat u-turn untuk terus beraksi musim depan, kami akan teruskan sokongan. Tanpa bola sepak Sri Pahang, sepi hidup kami sebenarnya," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram