
PENGARAH teknikal skuad bola sepak kebangsaan, Tan Cheng Hoe mahu melihat lebih ramai pemain muda mencabar tempat dalam pasukan Harimau Malaya di masa akan datang.
Menyedari terdapat lebih ramai pemain warisan ketika ini, Cheng Hoe tidak mahu pemain muda berasa peluang mereka semakin tertutup sebaliknya mereka perlu berusaha lebih kuat untuk menyertai skuad kebangsaan.
Bagi Cheng Hoe, pemain muda tidak perlu rasa terancam dengan kehadiran pemain berstatus warisan, kerana jika mereka berusaha keras, tempat di skuad kebangsaan akan terjamin.
Bekas pengendali Kedah Darul Aman FC dan Selangor FC itu mendapati Malaysia masih kekurangan pemain muda berkualiti tinggi.
"Kita masih kekurangan pemain bawah 23 tahun yang mempunyai kualiti tersendiri. Itulah realitinya.
"Pemain muda mesti memasang impian untuk mewakili Malaysia. Jangan jadi negatif, teruskan menaruh harapan dan bersikap optimis," kata Cheng Hoe.
Cheng Hoe menyedari terdapat kekecewaan dalam kalangan pemain muda selepas Piala MFL dimansuhkan. Disebabkan itu, dia berpendapat saingan Liga A1 Semi-Pro dapat membantu pemain muda meneruskan karier.
Oleh kerana tiadanya saingan divisyen dua buat masa sekarang, hanya pertandingan separa profesional itu dapat membantu pemain muda mendapatkan masa bermain.
"Benar, ia adalah satu perkara yang mengecewakan. Tapi, Liga A1 memberikan para pemain pentas baharu untuk buktikan diri mereka.
"Apa yang penting adalah bekerja keras untuk dapatkan tempat di kesebelasan utama. Tiada jalan pintas dalam bola sepak. Hanya usaha, percaya dan disiplin," jelas Cheng Hoe. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram