
SELANGOR FC kini disebut-sebut dalam usaha mendapatkan penyerang baharu selepas Ronnie Fernandez sah meninggalkan Gergasi Merah walaupun berbaki semusim lagi dalam kontraknya.
Penggantinya yang menjadi calon pilihan pengurusan Gergasi Merah adalah bekas pemain Kedah Darul Aman FC iaitu Willian Lira.
Dengan tersebarnya khabar angin mengenai Lira akan menyertai Selangor, wujudnya persoalan sama ada pemain itu wajar diambil oleh kelab Lembah Klang itu atau tidak.
BACA LAGI: Jodoh masih bertaut, Selangor-NSFC-Penang dikhabar rekrut semula ex-import Liga Super
BACA LAGI: Ronnie Fernandez ditunjuk jalan keluar dari Selangor, penyerang ‘flop’ Kedah dikhabar jadi pengganti
Lira beraksi untuk Hatta Club di Emeriah Arab Bersatu. — Agensi
Bagi penyokong Selangor, Faizal Wahid, kualiti yang ada pada Lira tidak mampu membawa Selangor mara jauh musim hadapan dalam saingan Liga Super dan Asia jika dia menyertai mereka.
"Bagi saya, Willian Lira seorang pemain import yang berkelas biasa-biasa sahaja. Kalau boleh, tak perlu untuk Selangor recycle semula pemain sepertinya.
"Mungkin Lira adalah seorang pengganti yang lebih baik berbanding Ronnie Fernandez, tapi dia tidak sesuai untuk menjadi penyerang import Selangor," kata Faizal kepada Majoriti.
Faizal yang merupakan Presiden Anak Selangor Fan Club (ASFC) turut berpendapat Selangor sepatutnya mencari pemain import yang setaraf bintang Johor Darul Ta'zim, Bergson da Silva.
Baginya, jika mendapatkan pemain berkualiti sepertinya, ia dapat membantu Selangor mara lebih ampuh di bahagian serangan dan itu boleh memanfaatkan Gergasi Merah di peringkat domestik serta antarabangsa.
"Selangor wajib mencari pemain import yang setaraf Bergson. Lira bukannya tidak bagus, rekodnya ketika di Kedah adalah baik, namun dia tidak membawa sebarang kejuaraan buat kelab itu," ujarnya.
Sebagai rekod, Lira yang kini beraksi untuk Hatta Club di Emeriah Arab Bersatu menghasilkan lapan gol dalam 15 penampilan semasa di Kedah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram