
PENGENDALI Manchester United, Ruben Amorim menunjukkan sikap kepimpinan dan penghargaan yang tinggi apabila membiayai sendiri kos perjalanan 30 orang kakitangan sokongan kelab ke perlawanan akhir Liga Europa di Bilbao, Sepanyol pada minggu hadapan.
Menurut laporan ESPN yang memetik sumber dalaman, tindakan itu diambil selepas Amorim dimaklumkan bahawa pihak kelab tidak akan menanggung kos tiket dan perjalanan untuk jurulatih, fisioterapis dan pasukan sokongan lain.
Sebaliknya, mereka diminta membeli sendiri tiket jika ingin hadir ke perlawanan penting berkenaan.
BACA LAGI: Andai Amorim undur diri, tak mustahil Mourinho kembali ke Man United
BACA LAGI: Dikaitkan ke kelab Itali, bekas jurulatih JDT berpeluang bergandingan dengan 'flop' Man United
Man United dijadual menentang Tottenham Hotspur pada 21 Mei di Stadium San Mames, Bilbao, Sepanyol dengan kejuaraan Liga Europa dan tempat ke Liga Juara-Juara UEFA (UCL) musim hadapan menjadi taruhan.
Langkah Amorim ini dilihat kontras dengan dasar penjimatan kelab ketika ini, termasuk pemotongan kos besar-besaran yang melibatkan pemberhentian sehingga 200 pekerja di Old Trafford pada musim panas.
United turut hanya menyediakan dua tiket berbayar bagi setiap kakitangan yang ingin menghadiri final dan tidak menawarkan sebarang subsidi perjalanan.
Dalam perbandingan yang ketara, finalis UCL iaitu Paris Saint-Germain (PSG) pada minggu lalu mengumumkan bahawa mereka akan menanggung kos perjalanan 600 kakitangannya ke Munich bagi menyaksikan perlawanan akhir menentang Inter Milan pada 31 Mei.
Man United dijadual menentang Tottenham Hotspur pada 21 Mei. — Agensi
Amorim yang menyertai United dari Sporting CP pada November lalu membawa beberapa anggota pasukan kejurulatihannya bersama, termasuk mereka yang berpendapatan rendah.
Keputusan beliau untuk menanggung sepenuhnya kos perjalanan mereka termasuk membolehkan setiap kakitangan membawa dua orang ahli keluarga atau rakan dianggap sebagai satu penghormatan atas kerja keras dan dedikasi mereka sepanjang enam bulan yang mencabar di kelab.
Difahamkan, setiap pemain United hanya menerima dua tiket, dan ahli keluarga mereka juga tidak ditanggung oleh kelab untuk hadir ke final.
Tindakan Amorim itu mendapat pujian daripada pelbagai pihak, yang melihatnya sebagai lambang kepimpinan berjiwa besar dalam suasana kelab yang sedang bergelut dengan kekangan kewangan dan tekanan prestasi. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram