Tak capai standard? Entah mengapa bintang 3 kelab termasuk Pahang-Kedah 'hilang' dalam senarai Cklamovski


  • Podium
  • Jumaat, 16 Mei 2025

Tiada pemain dari Sri Pahang FC, Kuching City FC dan KDA FC dalam senarai 38 pemain ke kem latihan kebangsaan kali ini.

PILIHAN pemain yang agak menarik dilakukan pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski menjelang aksi persahabatan menentang Cape Verde pada 29 Mei depan sebelum perlawanan kedua bagi kempen Kelayakan Piala Asia 2027 berdepan Vietnam.

Ini kerana jurulatih kelahiran Australia tersebut mahu mencipta keserasian terbaik dalam pasukan dengan menurunkan bintang dari latar belakang berbeza, termasuk pemain yang kini beraksi di luar negara.

Pendekatan tersebut menyaksikan nama-nama seperti Hector Hevel dan Gabriel Palmero yang kini beraksi di Eropah berada dalam senarai sementara Endrick dos Santos, Fergus Tierney dan Muhammad Abu Khalil turut dipanggil.

BACA LAGI: Cklamovski sahkan Dion Cools-Hector Hevel di Fasa 3, tak sempat beraksi menentang Cape Verde

BACA LAGI: ‘Kami perlu keluar zon selesa’, Peter Cklamovski tak pandang rendah cabaran Cape Verde

Bagaimanapun, masih terdapat pemain dalam negara yang tidak diberi peluang oleh Cklamovski dalam kalangan 38 nama bakal menyertai kem latihan Harimau Malaya dengan hal itu menjadi buah mulut peminat.

Kekecewaan berkenaan diluahkan kerana ada bintang yang dilihat sudah beraksi cemerlang sepanjang musim, namun standard masing-masing mungkin tidak menepati cita rasa untuk berada dalam skuad kebangsaan.

Lebih mengecewakan lagi, terdapat pasukan Liga Super yang terus terlepas pandang oleh ketua jurulatih berkenaan kerana tiada sebarang pemain dipanggil meskipun menjadi nadi utama skuad.

Berdasarkan senarai 38 pemain dikeluarkan pada Khamis, berikut merupakan tiga kelab yang tiada seorang pun wakil dalam skuad kebangsaan bagi perlawanan menentang Cape Verde dan Vietnam.

1. Sri Pahang FC

Meskipun bergelut dalam saingan Liga Super, Sri Pahang FC menikmati kemaraan bergaya dalam saingan Piala Malaysia 2024/25 apabila melangkah ke pentas akhir selepas menyingkirkan pasukan pilihan lain seperti Selangor FC dan Sabah FC.

Pencapaian membanggakan tersebut membuktikan skuad Tok Gajah memiliki barisan pemain berkualiti seperti Adam Nor Azlin, Azfar Arif serta 'ubi muda' meningkat naik, Ibrahim Manusi yang dikatakan bersedia menyarung jersi Harimau Malaya.

Reputasi Ibrahim Manusi (kanan) mula meningkat selepas aksi memukau pada penghujung musim 2024/25. Facebook/Sri Pahang FC

Namun, Cklamovski memilih untuk tidak menyenaraikan mana-mana pemain dari kelab Pantai Timur berkenaan sambil menegaskan keputusan itu dibuat berdasarkan alasan tersendiri dimilikinya.

Meskipun ramai menghormati keputusan diambilnya, segelintir penyokong masih kecewa kerana status finalis Piala Malaysia sepatutnya sudah cukup membuktikan pemain Sri Pahang FC bersedia dipanggil.

Ketiadaan mereka dalam senarai pasti cukup mengecewakan, lebih-lebih lagi kerana ini merupakan peluang terakhir bintang pasukan mewakili kelab tersebut ke tahap antarabangsa selepas khabar angin mengatakan skuad Tok Gajah akan terkubur dalam masa terdekat.

2. Kuching City FC

Kuching City FC menikmati satu musim membanggakan pada kempen lalu selepas menduduki tangga keempat Liga Super dengan kedudukan itu adalah lebih baik berbanding Terengganu FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC.

Pencapaian itu jelas diraih kerana kelab Borneo tanah air tersebut mempercayai sentuhan magis Aidil Sharin Sahak sebagai ketua jurulatih selain memiliki pemain yang memenuhi standard kebangsaan.

Jimmy Raymond sepatutnya diberi peluang untuk terus berada dalam skuad kebangsaan. Facebook/FAM

Antara bintang utama berada dalam kategori berkenaan ialah bek kanan, Jimmy Raymond yang pernah menerima kaps Harimau Malaya tahun lalu serta beberapa pemain pinjaman lain seperti Daniel Amier, Ramadhan Saifullah serta Hazwan Bakri.

Bagaimanapun, pada pandangan Cklamovski, mereka masih belum cukup bersedia untuk berentap di peringkat antarabangsa meskipun ramai beranggapan kualiti individu tonggak skuad The Cats jauh meninggalkan beberapa nama regular dalam Harimau Malaya.

Sekiranya khidmat masing-masing terus disia-siakan, tidak mustahil sekiranya mereka akan bertindak menolak panggilan pasukan negara pada masa akan datang meskipun dibenarkan pihak pengurusan kelab.

3. Kedah Darul Aman FC

Tidak boleh dinafikan bahawa Kedah Darul Aman (KDA) FC musim ini beraksi dengan cukup mengecewakan berikutan masalah luar padang dialami sehingga menyaksikan kelab berkenaan menduduki tangga ketiga tercorot.

Namun, ramai masih beranggapan skuad Sang Kenari memiliki lambakan pemain berkualiti yang masih boleh memberi sumbangan besar sekiranya berada dalam pasukan dengan keadaan kondusif.

Ariff Farhan menjadi watak utama dalam skuad Sang Kenari yang kelam musim lalu. Facebook/KDA FC

Ini termasuk bek kanan, Ariff Farhan Md Isa serta penyerang pinjaman, Syafiq Ahmad kerana kedua-duanya boleh dianggap permata bersinar dalam pasukan yang bergelut sepanjang musim.

Tetapi, kualiti masing-masing belum cukup untuk memukau perhatian Cklamovski serta barisan kejurulatihan pasukan negara yang lebih mempercayai nama-nama regular bagi perlawanan akan datang.

Namun, situasi berbeza masih boleh disaksikan sekiranya bintang dalam KDA FC mampu memberi impak lebih besar musim depan dengan penyokong Hijau Kuning mengharapkan wakil dari kelab tersebut dalam Harimau Malaya seperti tahun-tahun terdahulu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram