Dari Malaga ke Selangor, kenali siapakah Juanpi bakal pengganti Yohandry Orozco


  • Podium
  • Sabtu, 17 Mei 2025

Kehadiran Juanpi di Selangor akan menggantikan tempat Yohandry Orozco.

SELANGOR FC dikaitkan dengan perpindahan berkelas tinggi apabila mereka dikatakan akan mendapatkan pemain antarabangsa Venezuela iaitu Juanpi.

Berusia 31 tahun, perpindahannya itu dianggap sebagai langkah menggantikan Yohandry Orozco jika dilihat dari posisinya yang turut bermain sebagai pemain tengah menyerang atau attacking midfielder.

Gergasi Merah dijangka mendapatkan pemain berkelas tinggi yang mampu meningkatkan kualiti kelab. Dari Malaga ke Selangor, ini adalah apa yang boleh penyokong boleh harapkan daripada Juanpi.

BACA LAGI: Beri peluang 'ubi muda' JDT-Selangor, tiba masanya Cklamovski ketengah prospek Sabah-Perak-TFC

BACA LAGI: Jodoh masih bertaut, Selangor-NSFC-Penang dikhabar rekrut semula ex-import Liga Super

Pengalaman La Liga

Walaupun berasal dari Venezuela, namun Juanpi sebenarnya memulakan karier bola sepak senior di saingan La Liga Sepanyol bersama kelab Malaga.

Menyertai skuad bawah 19 tahun kelab itu pada 2013, Juanpi kemudiannya dinaikkan ke skuad senior Malaga pada tahun berikutnya sebelum berpindah ke SD Huesca empat tahun kemudian.

Juanpi bersama-sama Malaga yang pada waktu itu mencuri tumpuan Eropah dengan skuad berkualiti ditunjangi pemain-pemain seperti Guillermo Ochoa, Ignacio Camacho dan Samu Castellejo.

Oleh itu, Juanpi sebenarnya pemain yang mempunyai pengalaman luas terutamanya bermain di peringkat tertinggi dan itu pastinya dapat membantu Selangor untuk tampil kompetitif musim depan.

Bukan pertama kali di Asia

Lazimnya, satu-satu pemain terutamanya dari Eropah pastinya akan mengalami kesukaran untuk membiasakan diri apabila beraksi di Asia.

Hal ini disebabkan perbezaan corak bola sepak, budaya setempat dan bahasa boleh menyebabkan mereka mengalami masalah untuk membiasakan diri dan tampil cemerlang di benua terbesar dunia.

Juanpi beraksi di Arab Saudi selepas dilepaskan oleh Malaga. — Agensi

Namun begitu, Juanpi tidak begitu. Dia mempunyai pengalaman beraksi di Asia dalam kariernya sebelum ini bersama-sama Al-Ain di Arab Saudi sebaik saja kontraknya dengan Malaga tamat pada 2020.

Dengan pengalaman itu, Juanpi sekurang-kurangnya mempunyai gambaran bagaimana bola sepak di Asia. Oleh itu, ia mengurangkan kejutan budaya bakal dihadapinya apabila bersama Selangor.

Masih sandaran Venezuela

Sehingga kini, nama Juanpi masih lagi menjadi sandaran dalam skuad kebangsaan Venezuela dengan dia tetap menjadi pilihan pengurus, Fernando Batista.

Juanpi melakukan penampilan pertama untuk negaranya pada 2014 ketika Noel Sanvicente menjadi pengurus. Ketika itu, Juanpi bermain selama 32 minit dalam kekalahan 0-5 negaranya kepada Chile dalam aksi persahabatan.

Juanpi mewakili Venezuela sejak 2014. — Agensi

Selepas itu, Juanpi terus berkhidmat untuk negaranya dengan dia sudah melakukan 27 penampilan merentasi aksi persahabatan antarabangsa, kelayakan Piala Dunia dan Copa America.

Kali terakhir Juanpi dipanggil adalah pada Mac lalu semasa Venezuela berdepan Peru dalam kelayakan Piala Dunia 2026. Ketika itu, Juanpi hanya memanaskan bangku simpanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram