Kualiti servis makin padu, Malaysia mudah benam Brunei acara berpasukan


  • Podium
  • Jumaat, 16 Mei 2025

Malaysia mudah menundukkan Brunei dalam acara berpasukan. — PSM

KUALITI servis yang semakin meningkat jelas membawa tuah buat Malaysia apabila mereka berjaya membenam Brunei dalam aksi pertama kategori berpasukan di Piala Asia Astaf 2025.

Bermain pada aksi pagi pada Jumaat di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, skuad kendalian Ahmad Jais Baharun itu mudah menewaskan Brunei dengan keputusan 3-0 sekali gus membuka langkah kanan dalam kategori itu.

Apa yang menjadi perhatian kepada kemenangan itu adalah persembahan servis oleh para tekong skuad kebangsaan dilihat lebih kemas berbanding ketika acara regu dan beregu (double).

BACA LAGI: Piala Asia Astaf: Kelebihan laman sendiri, kualiti pasukan buatkan negara berpeluang cerah

BACA LAGI: 'Kita tutup buku', kempunan juara beregu, Presiden PSM desak buru 2 baki gelaran

Sebelum ini, persembahan servis daripada tekong negara terutamanya Syahir Rosdi sering menampakkan kekurangan apabila kerap berlaku service error yang memberikan mata kepada pihak lawan.

Namun begitu, perkara tersebut kelihatan lebih baik pada aksi berdepan Brunei dengan kesemua tekong daripada ketiga-tiga regu negara beraksi cemerlang.

Peningkatan dari segi servis membolehkan ketiga-tiga regu Malaysia yang turun tidak mempunyai sebarang masalah untuk memang kesemua pertarungan.

Regu pertama yang dianggotai oleh Haziq Hairul Nizam, Noraizat Nordin dan Farhan Adam meraih kemenangan 15-5, 15-10 untuk mendapatkan mata pertama.

Gandingan regu kedua, Zulkifli Abdul Razak, Khairul Aman Rosdi dan Aidl Aiman Azwawi pula mencatatkan kemenangan 15-7 dan 15-8.

Manakala regu ketiga yang dibarisi Zarif Marican Ibrahim Marican, Afifudin Razali dan Amirul Zazwan Amir mudah meraih kemenangan 15-5, 15-3 untuk memastikan Malaysia bermula langkah kanan.

Aksi kedua Malaysia akan diadakan pada Jumaat dengan pertemuan menentang Jepun pada 8 malam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram