
SKUAD regu berpasukan Malaysia meneruskan rentak cemerlang dalam saingan Piala Asia Astaf dengan menundukkan Jepun menerusi keputusan 3-0 bagi aksi kedua peringkat kumpulan pada Jumaat.
Aksi dimulakan dengan gandingan Syahir Rosdi, Amirul Zazwan serta Azlan Alias yang masing-masing tidak mempunyai sebarang masalah untuk menumpaskan lawan dari Asia Barat itu.
Ia dibuktikan menerusi kemenangan straight set 15-11, 15-7 dengan mata akhir diperolehi menerusi rejaman berbisa Azlan Alias untuk memberi mata pertama buat pasukan negara.
BACA LAGI: Tak sempat 'mandi peluh' tewaskan Nepal, Ahmad Jais masih belum puas prestasi regu takraw kebangsaan
BACA LAGI: Kualiti servis makin padu, Malaysia mudah benam Brunei acara berpasukan
Keputusan selesa disaksikan pasukan negara ketika berdepan Jepun. — Facebook/PSM
Kecemerlangan diteruskan regu kedua yang dibaris Haziq Hairul Nizam, Noraizat Nordin serta pemain berpengalaman, Farhan Adam yang sekali lagi membuktikan dominasi negara dalam sukan berkenaan.
Kemenangan straight set sekali lagi dicatatkan menerusi keputusan 15-8, 15-9 dengan perlawanan diakhiri servis Haziq yang gagal ditampan mana-mana pemain Jepun.
Dalam set terakhir pula, skuad negara menampilkan gandingan Aidil Aiman, Afifuddin Razali dan Zulkifli Abd Razak dengan masing-masing tampil dengan persembahan bergaya.
Seperti mana dijangka, ketiga-tiga mereka mudah mengecewakan regu Jepun untuk mencapai kemenangan 15-8, 15-8 bagi memastikan dominasi penuh pasukan negara di peringkat kumpulan.
Bagaimanapun, bagi jurulatih pasukan negara, Ahmad Jais Baharun, persembahan ketiga-tiga regu belum cukup memuaskan dengan peningkatan amat ditagih bagi aksi-aksi akan datang.
"Ini perlu diperbaiki dari masa ke masa menjelang perlawanan terakhir menentang Korea Selatan pada esok (Sabtu). Jadi, saya mengharapkan mereka dapat meningkatkan jentera pertahanan dan serangan.
"Kita lihat pemain kita bermula agak lambat dan kita harapkan mereka lebih agresif pada aksi seterusnya supaya momentum itu dapat diteruskan bagi peringkat seterusnya," katanya.
Anak-anak buah Ahmad Jais bakal berdepan Korea Selatan bagi aksi terakhir peringkat kumpulan dengan pemenang bakal menamatkan saingan di tangga teratas.
Meskipun tidak menjanjikan perbezaan ketara, kedudukan lebih baik akan menjanjikan aksi lebih mudah di pentas separuh akhir, sekali gus membuka peluang lebih cerah untuk ke perlawanan final bagi acara regu berpasukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram