
JURULATIH skuad regu tanah air, Ahmad Mohd Zin tidak menafikan kecemerlangan servis tekong negara iaitu Syahir Rosdi menjadi kunci kepada kemenangan straight set buat Malaysia dalam dalam pentas final Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 pada Khamis.
Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur yang menjadi saksi perlawanan akhir itu mempamerkan teknik servis luar biasa daripada Syahir sehingga mampu merosakkan mental tekong Thailand, Sittipong Kamchan.
BACA LAGI: Malaysia tambah kejuaraan di Titiwangsa, regu takraw kebangsaan menang straight set malukan Thailand
“Saya menjangkakan saingan sengit pada malam ini dan Alhamdulillah memberikan aksi yang cukup baik dan kurang membuat kesalahan.
“Bola pertama daripada tekong kita (Syahir) menyebabkan Sittipong (tekong Thailand) dałam keadaan tertekan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Memasuki set kedua, Malaysia terus menguasai permainan sehingga pasukan pelawat bertindak menukar tekong mereka daripada Sittipong kepada Jakkrit Thinbangbon dalam usaha mengubah rentak permainan.
Bagaimanapun, servis dan kerjasama pasukan Malaysia menjadi penghalang utama apabila trio berpengalaman itu mematahkan beberapa percubaan lawan untuk bangkit menang 15-9 pada set kedua.
Sebelumnya, pasukan sepak takraw negara mempamerkan aksi cemerlang apabila memenangi set pertama menentang Thailand dengan keputusan 15-12 dalam pertemuan yang penuh dramatik dan tegang.
Sementara itu, Syahir sendiri tidak menyangka akan melakar kejayaan ke atas Thailand dengan tekong utama negara itu percaya sokongan penyokong membantu Malaysia menewaskan musuh tradisi mereka berkenaan.
Belum boleh berehat dengan tenang apabila Syahir berharap agar rakan sepasukannya cepat menyesuaikan diri dan memberi fokus untuk acara terakhir mereka iaitu regu berpasukan yang bermula pada Jumaat.
“Kita memang tak sangka boleh menang 2-0. Alhamdulillah, berkat penonton yang datang ni memang menaikkan semangat kami.
“Untuk ke acara regu berpasukan, saya harap rakan-rakan saya dapat adapt cepat lah. Dapat catch up cepat dalam keadaan yang singkat ini,” jelasnya.
Untuk rekord, skuad negara dijadual membuka tirai saingan menentang Brunei dan Jepun pada Jumaat, sebelum berdepan Korea Selatan dalam aksi terakhir kumpulan pada Sabtu di venue sama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram