
KAPTEN skuad sepak takraw negara, Farhan Adam bertekad untuk menebus maruah pasukan selepas tewas bagi acara double di tangan musuh tradisi, Thailand dalam Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 yang berlangsung pada Selasa.
Dalam aksi yang penuh intensiti di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, Malaysia terpaksa akur apabila tewas kepada Thailand sekali gus menggagalkan hasrat untuk merangkul kejuaraan berganda, selepas muncul juara acara kuadran menewaskan Jepun pada Isnin lalu.
Kem negara yang menurunkan gandingan Noraizat Nordin dan Redwan Hakim Muhammad bermula cemerlang dengan mendominasi set pertama 15-7.
BACA LAGI: Makin ramai tinggalkan JDT, tak mustahil kiper senior, Keliboy, pemenang Kasut Emas ke Melaka
BACA LAGI: Sumbangan mungkin tak seberapa, cuma tak mustahil JDT kekalkan 3 bintang termasuk Jese Rodriguez
Skuad negara bergelar naib juara selepas tewas kepada pasukan Thailand dalam pertandingan akhir acara double. — Facebook/PSM
Namun, Thailand yang dibarisi Sirisak Analoon dan Tanaphon Sapyen menggantikan pemain berpengalaman Boonkom Tipwong bangkit mempamerkan permainan bertenaga untuk menguasai dua set berikutnya, 15-10 dan 15-12.
Mengulas kekalahan tersebut, Farhan tetap berbangga dengan usaha rakan sepasukannya dan menyuarakan hasrat untuk bangkit dalam aksi regu yang seterusnya.
“Walaupun pasukan double tewas di final, mereka tetap menampilkan permainan yang sangat baik dan kami berasa bangga dengan mereka.
“Insya-ALLAH kami akan cuba tebus kekalahan itu dan kembalikan maruah pasukan Malaysia dalam perlawanan regu seterusnya,” katanya kepada media selepas perlawanan.
Farhan turut mengulas prestasi pasukan selepas menewaskan Filipina dengan kemenangan straight set 15-9, 15-6 dalam peringkat Kumpulan D yang menyaksikan skuad negara mara ke suku akhir bertemu Brunei.
“Saya rasa secara keseluruhan, prestasi kami semakin meningkat. Peningkatan paling ketara adalah dari segi keyakinan, ia nampak bertambah dari satu perlawanan ke satu perlawanan.
“Kami masih perlu perbaiki banyak aspek, tetapi saya yakin apabila keyakinan berada pada tahap terbaik, kami akan dapat menzahirkan segala yang telah kami pelajari dalam latihan ke dalam aksi di gelanggang,” tambahnya lagi.
Skuad negara dijangka menurunkan barisan terbaik menentang Brunei dalam usaha melangkah ke separuh akhir dan terus memburu kejuaraan dalam acara regu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram