
KEJATUHAN sesebuah kelab bola sepak dalam kancah Liga Super bukan hanya memberi kesan kepada pemain di atas padang. Hakikatnya, gelombang kesannya jauh lebih besar, melibatkan ramai pihak yang hidup bergantung kepada ekosistem bola sepak profesional di Malaysia.
Menurut penganalisis sukan, Prof Madya Zulakbal Abd Karim, ramai tidak menyedari bahawa penarikan diri sebuah kelab akan turut menjejaskan pelbagai individu dan organisasi lain yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam industri ini, lapor MFL.
“Jika sesuatu FC tutup dan tarik diri dari liga, bukan sahaja pemain, kaki tangan teknikal dan pengurusan sahaja terjejas, tetapi tempiasnya juga bakal dirasai oleh ramai lagi pihak yang berkepentingan," ujarnya.
BACA LAGI: Sumbangan mungkin tak seberapa, cuma tak mustahil JDT kekalkan 3 bintang termasuk Jese Rodriguez
BACA LAGI: Makin ramai tinggalkan JDT, tak mustahil kiper senior, Keliboy, pemenang Kasut Emas ke Melaka
Perak FC tidak membuat permohonanan lesen kebangsaan. — Facebook/Perak FC
Antara yang bakal menerima kesan termasuklah pemilik stadium yang kehilangan sumber sewaan, syarikat pengendali tiket dan keselamatan, sukarelawan perlawanan, syarikat barangan rasmi kelab, penjaja kecil dan peniaga makanan di sekitar stadium yang lazimnya bergantung kepada pendapatan mingguan.
Lebih membimbangkan, apabila kelab utama berundur, keseluruhan struktur akar umbi seperti skuad Piala Presiden, Bawah-19, Bawah-17 dan Bawah-14 juga akan terkubur. Ini akan menjejaskan peluang bakat muda untuk berkembang dan menonjolkan kemampuan mereka.
“Ini akan menyebabkan ‘pool of talent’ kita terjejas teruk dan pusat pembangunan seperti AMD juga bakal kekurangan bakat baharu untuk diketengahkan kepada Harimau Malaya. Akhirnya, kita mungkin lebih lama bergantung kepada pemain naturalisasi,” jelas Pemegang Diploma Profesional Kejurulatihan AFC itu.
Tambah beliau, situasi itu ibarat pepatah “kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan”, satu realiti yang perlu dielak demi kelangsungan bola sepak negara.
Justeru, beliau berpandangan bahawa sudah tiba masanya kelab-kelab ini berusaha melakukan 'comeback' dengan merancang penstrukturan semula yang lebih mampan, menjenamakan semula pasukan, melangsaikan hutang lama dan melantik tenaga profesional untuk membawa kelab kembali ke landasan yang betul.
“Kita tidak kurang pakar dan sumber dalam negara. Bola sepak ialah sukan nombor satu di Malaysia – diminati semua golongan. Jika ada usaha dan hala tuju yang jelas, saya yakin kita mampu bangkit semula,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram