
JURULATIH skuad kebangsaan, Peter Cklamovski menegaskan keperluan untuk Harimau Malaya keluar daripada zon selesa supaya dapat mencabar dengan lebih garang menjelang kelayakan Piala Asia 2027 bertemu Vietnam.
Bakal berdepan wakil Afrika, Cape Verde pada aksi persahabatan, jurulatih dari Australia itu menegaskan yang pasukan mesti bersedia keluar daripada zon selesa untuk supaya Harimau Malaya dapat berkembang.
Baginya, perlawanan tersebut tidak dipandang sebagai aksi persahabtan semata-mata, sebaliknya sebagai peluang untuk mara ke hadapan.
"Cape Verde akan memberikan cabaran yang bertahap tinggi. Mereka adalah pasukan Afrika yang sedang berprestasi baik dengan ramai pemain berkualiti beraksi di serata liga Eropah. Mereka mempunyai bakat berkualiti dalam pasukan dan akan menjadi pasukan yang bagus untuk kita tentang.
"Sebagai pasukan kebangsaan, kami perlu tingkatkan tahap dan uji diri berdepan lawan yang lebih sukar. Jika kita mahu berkembang menjadi pasukan yang kita idamkan, kita mesti rela keluar daripada zon selesa dan bermain dengan pasukan berkualiti tinggi, dan itu akan membenarkan kita belajar dan berkembang.
"Perlawanan sebegini bukan saja aksi persahabatan, sebaliknya ia adalah bahagian penting kepada pembangunan dan perjalanan dalam menuju ke hadapan," jelas Cklamovski.
Aksi bertemu Cape Verde, yang berada pada ranking ke-72 dunia akan diadakan pada 29 Mei dengan perlawanan berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.
Satu lagi aksi akan berlangsung secara tertutup di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 3 Jun.
Perlawanan tersebut amat penting buat Harimau Malaya menjelang aksi berdepan Vietnam pada 10 Jun ditambah dengan cabaran ia diadakan ketika musim bola sepak tempatan sedang berehat.
Melihat kepada situasi itu, Cklamovski tidak menganggap ia sebagai kesukaran sebaliknya jurulatih itu memandang ia sebagai elemen unik dalam menyiapkan pasukannya.
"Ia adalah tempoh unik buat kami sebagai skuad kebangsaan. Majoriti pemain kami akan datang daripada tempoh luar musim. Majoriti pemain tidak akan bermain perlawanan kompetitif dalam empat hingga lima minggu.
"Saya memandang tempoh persiapan dan kem (skuad kebangsaan) adalah penting menjelang perlawanan bertemu Vietnam pada 10 Jun," ujarnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram