
PRESIDEN Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan mahu skuadnya menutup buku atau move on daripada detik pedih terlepasnya gelaran beregu kepada Thailand pada Piala Asia ASTAF pada Isnin.
Kekalahan tersebut menafikan peluang Malaysia untuk menyapu semula gelaran yang dipertandingkan di Piala Asia ASTAF selepas meraih kejuaraan dalam kategori kuadran.
Bercakap kepada media pada Selasa, Sumali mahu para pemain skuad negara fokus kepada acara regu dan berpasukan kerana saingan merebut gelaran Asia masih belum tamat.
BACA LAGI: [VIDEO] Padam cabaran Oppa, skuad kuadran bersedia hadapi Jepun di final Piala Asia Astaf
BACA LAGI: Piala Asia Astaf: Kelebihan laman sendiri, kualiti pasukan buatkan negara berpeluang cerah
Sumali (tengah) bercakap kepada media di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.
"Saya yakin semangat mereka masih ada. Kekalahan itu adalah perkara yang mereka sudah pernah hadapi. Bagi saya, pasukan adalah yang paling penting, perhatian semuanya diberikan kepada mereka.
"Sebab itu saya katakan kita cepat tutup buku, kejar lagi dua perjuangan (regu dan berpasukan). Itu yang paling penting," kata Sumali kepada media pada Selasa.
Malaysia tumpas kepada Thailand 1-2 dalam perlawanan akhir acara beregu walaupun pada mulanya mendahului.
Dalam pada itu, Sumali turut gembira apabila skuad sepak takraw kebangsaan diangkat sebagai Pasukan Lelaki Terbaik Kebangsaan di Anugerah Sukan Negara (ASN).
Kejayaan memenangi Piala Dunia ASTAF tahun lalu menjadikan skuad sepak takraw negara cukup gah.
"Saya sebenarnya tidak menjangkakan yang skuad sepak takraw akan menang kerana calon lain-lain pun kuat. Setelah sekian lama, kita dapat juga pengiktirafan itu," ujar Sumali. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram