
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Rabu mengumumkan perubahan baharu dalam struktur kejurulatihan skuad wanita kebangsaan apabila melantik Joel Cornelli sebagai pengendali baharu.
Cornelli yang berasal dari Brazil menggantikan Soleen Al-Zoubi yang kini menjadi pengarah teknikal bagi bola sepak wanita.
Kehadiran Cornelli merupakan salah satu daripada tindakan strategik FAM untuk meningkatkan kualiti bola sepak wanita di negara ini dengan dia mempunyai pengalaman dua dekad di tahap profesional.
BACA LAGI: Kelayakan Piala Asia persiapan terbaik Malayan Tigress ke Sukan SEA — Soleen Al-Zoubi
BACA LAGI: [VIDEO] Selain masalah gaji, Niena Azman cuba intai pemain warisan wanita perkasa Malayan Tigress
"Pelantikan ini merupakan langkah strategik FAM dalam memperkukuh struktur kejurulatihan skuad bola sepak wanita kebangsaan seiring dengan visi untuk melonjakkan prestasi skuad wanita negara di peringkat serantau dan antarabangsa.
"Joel memiliki pengalaman lebih dua dekad dalam bidang kejurulatihan bola sepak, termasuk penglibatan dengan beberapa kelab profesional serta program pembangunan di Amerika Selatan, Asia dan Asia Tenggara," kata FAM dalam kenyataan mereka.
Tindakan FAM melantik Cornelli dilihat sebagai langkah positif dengan ia diterima baik oleh penyokong bola sepak tempatan.
Usai mendapatkan Cornelli, penyokong berharap layanan serupa diberikan oleh FAM terhadap skuad wanita terutamanya dalam pencarian bakat seperti skuad lelaki.
Mereka berharap agar FAM akan aktif mencari pemain bola sepak wanita yang berdarah warisan serta calon berpotensi dinaturalisasikan supaya Malayan Tigress lebih maju pada masa akan datang.
"Ayuh masukkan pemain naturalisasi dan kacukan," kata penyokong bernama Shahar Othman.
"Harap ada perubahan," ujar Jzac Omar.
Cornelli sudah pun memanggil 27 pemain untuk kem latihan pusat Malayan Tigress menjelang kejohanan Tri Nation di Bhutan.
Mereka bakal berdepan Bhutan dan Hong Kong pada kejohanan tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram