JDT hampiri rekrut pertama, 'midfield' kelab liga ke-2 Sepanyol jadi pilihan


  • Podium
  • Jumaat, 16 Mei 2025

Skuad Harimau Selatan perlu membawa masuk nama baharu meskipun terus mendominasi arena bola sepak tempatan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) meneruskan dominasi dalam saingan peringkat domestik musim lalu selepas menjuarai kesemua empat pertandingan tanpa mengalami sebarang kekalahan.

Bagaimanapun, pencapaian itu belum cukup memuaskan buat pihak pengurusan yang bercita-cita lebih besar untuk menjadi antara pasukan terbaik di pentas Asia.

Bagi mencapai cita-cita tersebut, skuad Harimau Selatan memerlukan pemain import dengan pengalaman lebih luas di pentas Eropah dengan ciri-ciri itu akan mewujudkan dimensi lebih baik dalam pasukan.

BACA LAGI: Luis Garcia, 'coach' kelab Indonesia antara calon DNA Sepanyol boleh gantikan Bidoglio

BACA LAGI: 'Kegagalan ACLE satu keputusan tidak realistik jika JDT buang Bidoglio'

Fabio Gonzalez pernah menimba pengalaman dalam LaLiga bersama Las Palmas. Agensi

Namun, ia bukanlah satu-satunya kriteria diperlukan JDT dalam mencari rekrut luar negara bagi kempen akan datang kerana mereka perlu memastikan semua pemain dapat menyesuaikan diri dengan segera.

Ciri-ciri itu seperti sudah dikenal pasti kerana baru-baru ini, skuad Harimau Selatan dilaporkan sudah menemui pemain tengah baharu dari kelab liga bawahan di Sepanyol.

Berdasarkan beberapa ciapan di laman X, ramai percaya JDT berjaya mendapatkan khidmat Fabio Gonzalez dari CD Tenerife dengan kehadirannya akan mencipta kelainan dalam pasukan musim depan.

"Fabio Gonzalez difahamkan sudah menandatangani kontrak bersama sebuah kelab dari Malaysia. Ia difahamkan menjadi punca di sebalik pemergiannya dari pasukan lebih awal sebelum berakhirnya kempen LaLiga2," tulis Manoj Daswani.

"Bekas pemain Las Palmas, Fabio Gonzalez kini merupakan pemain baharu JDT di Malaysia. Dia yang pernah berada dalam pasukan belia Las Palmas akan menyertai Jonathan Vieira dan Jese di sana," tulis Norberto Gonzalez.

Fabio Gonzalez kini beraksi bersama CD Tenerfie dalam divisyen kedua. Agensi

Sepanjang kariernya, pemain berusia 28 tahun itu hanya pernah menyarung jersi Tenerife dan Las Palmas dengan dia pernah mencatatkan sembilan penampilan dalam divisyen utama di Sepanyol.

Bagaimanapun, masa permainannya lebih berkisar dalam LaLiga2 dengan pengalaman sedemikian sudah tentu cukup buat JDT mendapatkan khidmatnya bagi kempen baharu.

Sekiranya skuad Harimau Selatan mendapatkan khdimat pemain kelahiran Sepanyol berkenaan, mereka akan memiliki lambakan pilihan di posisi itu, baik dalam kalangan bintang import mahupun lokal.

Ini termasuk bekas pemain paling bernilai Liga Super, Jalil Elias dan bekas tonggak Las Palmas, Roque Mesa yang masing-masing mengalami musim berbeza buat kelab berkenaan.

Dalam kalangan bintang tempatan pula, JDT boleh menurunkan Hong Wan, Afiq Fazail dan Natxo Insa serta beberapa 'ubi muda' yang berada dalam skuad simpanan bagi kempen lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram