
KELAB elit Liga Malaysia (Liga M), Johor Darul Ta'zim (JDT) menempa sejarah baharu bola sepak tempatan apabila melengkapkan gelaran hatrik quadruple selepas menjuarai Piala Malaysia dengan menundukkan Sri Pahang 2-1 dalam aksi final pada Sabtu lepas.
Kejayaan itu bagaimanapun tidak memberi jaminan kepada masa depan pengendali skuad Harimau Selatan iaitu Hector Bidoglio selepas jurulatih itu dikatakan tidak akan bersama JDT pada musim depan.
Menurut pemerhati sukan tanah air, Zulhelmi Zainal Azam dalam siaran Nadi Arena, Bidoglio berpotensi digantikan susulan kegagalan JDT mara ke suku akhir Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) musim ini.
BACA LAGI: Terpisah 18 mata dengan JDT, misi Selangor kecilkan jurang bergantung 3 faktor
Juara 11 kali Liga Super berkenaan tersingkir di pusingan kalah mati selepas tewas tipis 0-1 kepada kelab Thailand, Buriram United dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 11 Mac lalu.
Melontarkan buah fikiran mengenai nasib pengendali dari Argentina itu, pemerhati bola sepak tempatan iaitu Afiq Rowley berpendapat situasi tersebut tidak realistik jika prestasi di ACLE menjadi kayu ukur nasib Bidoglio.
"Pada saya tidak wajar (prestasi ACLE dijadikan asas menamatkan khidmat Bidoglio). Kena realistik juga. Kejohanan ACLE mempunyai jurang kualiti yang sangat jauh jika dibandingkan kelab Malaysia.
"Tapi Bidoglio dah kurangkan jurang itu dan dia sendiri dah hasilkan banyak keputusan positif ketika hadap beberapa kelab pilihan Asia lain.
"Saya boleh anggap Bidoglio berjaya. Mungkin ada yang pertikai kualiti Bidoglio tapi pandangan saya, dia sudah jalankan tugas dengan sangat baik.
"Berani gilirkan pemain, letak kepercayaan kepada Natxo Insa untuk jadi antara pemain tengah terbaik pasukan di ACLE, dan kekal semua piala domestik di Johor," katanya kepada Majoriti mengenai nasib pengendali itu.
Untuk rekod, berdasarkan rekod Harimau Selatan sebelum ini menunjukkan kegagalan mencapai sasaran di pentas antarabangsa sering menjadi faktor utama perubahan nakhoda pasukan berkenaan.
Situasi yang sama pernah berlaku kepada pengendali terdahulu seperti Esteban Solari, Mario Gomez dan Benjamin Mora yang tidak kekal mengendali JDT selepas gagal menepati standard ditetapkan kelab.
Afiq menambah, sekalipun Harimau Selatan tetap ingin menukar pengendali mereka, ia pastinya sudah disusun rapi dengan sasaran lebih tinggi mahu dikecapi oleh kelab gergasi tanah air berkenaan.
Solari membimbing JDT pada musim 2023. — Facebook/JDT
"Jika Bidoglio tidak lagi diperlukan, maknannya mereka ada perancangan lebih baik serta besar untuk saingan hadapan. Keutamaan terarah kepada pasukan dan bukan individu.
"Tapi apapun, JDT sudah tentu akan kenang Bidoglio selaku salah seorang jurulatih paling berjaya pernah menguruskan pasukan berkenaan," kongsinya.
Sebelum ini, pemilik kelab JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memaklumkan bahawa status Bidoglio akan diputuskan dalam masa terdekat sama ada dikekalkan sebagai ketua jurulatih atau sebaliknya ketika sesi soal jawab bersama penyokong di JDT Cafeteria, Pusat Latihan JDT, Padang Seri Gelam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram