Luis Garcia, 'coach' kelab Indonesia antara calon DNA Sepanyol boleh gantikan Bidoglio


  • Podium
  • Khamis, 08 Mei 2025

Kejayaan di pentas domestik tidak cukup untuk mengukuhkan masa depan Bidoglio bersama skuad Harimau Selatan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

DOMINASI Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam arena bola sepak tempatan berterusan selepas mereka sekali lagi menjuarai empat kejohanan domestik tanpa mengalami sebarang kekalahan.

Di pentas Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite pula, skuad Harimau Selatan menampilkan persemabahan cemerlang, namun dikecewakan Buriram United di pusingan 16 pasukan terakhir.

Meskipun gagal melangkah ke tahap lebih tinggi, ia boleh dikategorikan sebagai musim memberangsangkan buat JDT dengan pelbagai rekod dipecahkan sepanjang tempoh berkenaan.

BACA LAGI: 'Jumpa lagi', ucapan coach GK kuatkan spekulasi Bidoglio tinggalkan JDT

BACA LAGI: 'Kegagalan ACLE satu keputusan tidak realistik jika JDT buang Bidoglio'

Bidoglio wajar diangkat sebagai antara pengendali terbaik pernah dimiliki skuad Harimau Selatan. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Namun, di sebalik kejayaan berkenaan, kedengaran khabar angin kononnya pihak pengurusan mahu membuat rombakan terhadap pasukan, termasuk menggantikan ketua jurulatih, Hector Bidoglio.

Pengendali kelahiran Colombia tersebut dilaporkan bakal digugurkan dengan penggantinya dilaporkan tiba dari Sepanyol, namun tidak dipastikan mengenai latar belakang sepanjang karier kejurulatihannya.

Bagaimanapun, melihat kepada cita-cita besar dimiliki kelab tersebut, pengendali bertaraf dunia dan berpengalaman pasti dimahukan dalam harapan membawa JDT ke satu tahap baharu.

Jadi, bagi memenuhi kriteria tersebut, terdapat tiga calon yang boleh diketengahkan bagi menjadikan skuad Harimau Selatan sebuah pasukan digeruni serta dihormati di pentas Asia.

1. Luis Garcia Hernandez

Berdasarkan khabar angin yang kencang bertiup, nama paling kuat dikaitkan dengan jawatan pengendali JDT musim depan merupakan Luis Garcia Hernandez yang sebelum ini mengendalikan Qatar.

Dia dilaporkan tidak lagi bersama negara di kedudukan ke-55 dunia berkenaan selepas mereka melantik Julen Lapotegui, sekali gus menyaksikan sasaran Harimau Selatan itu berstatus ejen bebas.

Pengalaman Luis Garcia bersama skuad kebangsaan Qatar cukup berharga. Agensi

Meskipun masih 'mentah' dalam dunia kejurulatihan, Luis Garcia memiliki rekod cukup baik di peringkat antarabangsa selepas membantu negara Timur Tengah berkenaan menjulang Piala Asia 2023 ketika bertindak sebagai pembantu kepada Tintin Marquez.

Pencapaian tersebut sudah cukup untuk menjadikannya calon pengganti terbaik kepada Bidoglio, lebih-lebih lagi kerana skuad Harimau Selatan memerlukan nafas baharu daripada jurulatih muda.

Harapan mendapatkan khidmat pengendali berusia 44 tahun itu akan dimudahkan kerana kelab Liga Super itu memiliki hubungan antarabangsa bersama Paris Saint-Germain (PSG) yang berada di bawah pemilikan Qatar.

2. Carlos Pena

Meskipun tidak memiliki sebarang masalah di pentas domestik, JDT masih memerlukan jurulatih yang berpengalaman di sekitar Asia Tenggara dari segi kebolehan dan gaya hidup pemain.

Melihat kepada landskap bola sepak di rantau tersebut, Carlos Pena yang kini mengendalikan kelab Liga 1 Indonesia, Persija Jakarta merupakan antara calon terbaik untuk diberi kepercayaan.

Pengalaman di Asia Tenggara menjadikan Pena antara calon terbaik menggantikan Bidoglio. Agensi

Bekas pemain antarabangsa Sepanyol Bawah 21 Tahun (B-21) itu boleh diberikan peluang meskipun rekodnya sebagai pengendali tidaklah begitu baik, apatah lagi dari segi pencapaian sepanjang bergelar jurulatih.

Ini kerana Pena pernah bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JDT, Luis Garcia ketika berada dalam skuad muda Barcelona, sekali gus mencipta hubungan baik antara kedua-dua pihak.

Persefahaman sebegitu akan memudahkan proses membawa masuk pemain baharu dengan Pena akan memberi tumpuan terhadap pemain di atas padang sementara Garcia dapat membantu dari segi merekrut.

3. Luis Miguel Carrion

Dalam dua musim kebelakangan ini, JDT seperti memiliki kecenderungan untuk membawa masuk pemain yang pernah beraksi buat Las Palmas dalam LaLiga seperti Roque Mesa dan Alvaro Gonzalez.

Jadi, tidak hairan sekiranya skuad Harimau Selatan akan meneruskan perancangan sebegitu dari segi kejurulatihan kerana bekas pengendali kelab itu, Luis Miguel Carrion kini berada dalam pasaran.

Carrion pernah membimbing Las Palmas yang beraksi dalam divisyen teratas bola sepak Sepanyol. — Agensi

Dia yang berasal dari negara Eropah tersebut mempunyai pengalaman luas dalam dunia kejurulatihan selepas menceburinya pada 2015 dengan beberapa pasukan pernah dibimbingnya seperti CD Numancia dan FC Cartagena.

Meskipun kelab-kelab dikendalikannya berada dalam liga bawahan, perbezaan bakal dibawakan dari segi pengurusan akan membawa skuad Harimau Selatan ke tahap lebih tinggi, terutamanya dalam pentas ACL Elite.

Selain itu, usianya yang baru mencecah 46 tahun sesuai dengan pendekatan JDT yang mahu menyuntik nafas baharu dalam pasukan untuk terus mendominasi bola sepak Asia buat bertahun-tahun lamanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram