Negara kelahiran bintang Selangor jadi 'sparring partner' Harimau Malaya, cuma harga tiket dikata agak mahal


  • Podium
  • Jumaat, 09 Mei 2025

Dua aksi menentang Cape Varde merupakan sebahagian persiapan sebelum menentang Vietnam di SNBJ pada 10 Jun 2025. — Facebook/MalaysiaNT

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan skuad Harimau Malaya dijadualkan menentang Cape Verde pada Perlawanan Antarabangsa Tier 1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Kuala Lumpur pada 29 Mei 2025.

Pasukan yang berada pada ranking ke-72 dunia itu juga akan menjadi ujian latihan skuad bimbingan Peter Cklamovski yang akan diadakan secara tertutup tanpa penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 3 Jun 2025. 

Dalam kenyataan pada Jumaat, FAM memberitahu bahawa dua aksi itu merupakan sebahagian persiapan yang diatur skuad Harimau Malaya perlawanan perlawanan kedua Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 Arab Saudi menentang Vietnam di SNBJ pada 10 Jun 2025. 

BACA LAGI: Jersi lebih lawa berbanding Harimau Malaya, ‘hype’ gelombang skuad takraw kebangsaan memuncak menjelang Piala Asia

BACA LAGI: ‘Ukur baju di badan Harimau Malaya’, pilihlah pasukan yang sama ranking

Pemilihan Cape Varde sebagai aksi pemanas badan dianggap satu pilihan yang tepat susulan skuad The Blue Shark mempunyai reputasi tersendiri apabila mara ke peringkat 16 terakhir Piala Negara-Negara Afrika 2021. 

Beraksi menentang negara benua Afrika itu juga memberi pengalaman untuk tonggak Harimau Malaya berikutan mereka mempunyai barisan pemain bintang yang bermain di pentas liga terkemuka dunia seperti Logan Costa dari Villarreal CF.

Selain teruja menyaksikan Costa, penyokong pada masa sama menyimpan hasrat untuk menyaksikan Alvin Fortes bermain bersama Cape Varde meskipun tonggak Selangor FC itu hanya sekali merekodkan kaps bersama negaranya. 

Penyerang sayap kanan itu tampil bersama Cape Varde pada 1 Jun 2018 menentang Algeria ketika perlawanan persahabatan. Ketika itu, Fortes diturunkan pada minit ke-78 dan mengumpul 12 minit permainan. 

Fortes merupakan tonggak utama Selangor musim ini. — Facebook/SelangorFC

Dalam pada itu, semangat penyokong untuk menyaksikan aksi menentang Cape Varde bagaimanapun dikecewakan dengan harga tiket yang dianggap terlalu mahal meskipun perlawanan berkenaan bukan berada dalam kalendar FIFA. 

"Harga tiket jangan lah lagi letak harga macam itu kalau nak penyokong datang ramai-ramai. Perlawanan persahabatan pun nak letak harga kaw-kaw," kata penyokong domestik, Bruce Kwa Lee. 

"Gila mahal tiket, aksi persahabatan dekat Cheras saja pun," komen penyokong Harimau Malaya, Khairulddin Ramli.

"Pemain nak yang tahap international, harga tiket nak RM5. Mana tak melingkup bola sepak Malaysia," pendapat penyokong, Afiq Hasriza yang begitupun bersetuju dengan harga tiket yang diletakkan oleh FAM. 

Tiket bagi menyaksikan perlawanan skuad Harimau Malaya menentang Cape Verde dan Vietnam ini, kedua-duanya akan dijual secara dalam talian di www.tickethotline.com.my bermula Isnin (12 Mei 2025), pukul 10 pagi.

Bagi Perlawanan Antarabangsa Tier 1, Malaysia lawan Cape Verde di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada Khamis (29 Mei 2025), Tiket Terbuka berharga RM40 dan Tiket Kanak-kanak (6 hingga 12 tahun) berharga RM5.

Sementara bagi perlawanan Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 Arab Saudi, Malaysia lawan Vietnam di SNBJ pada Selasa (10 Jun 2025), Tiket Terbuka berharga RM40, Tiket Grandstand RM60, Tiket Premium RM70 dan Tiket Kanak-kanak (6 hingga 12 tahun) berharga RM5. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram