
SKUAD sepak takraw negara terus mempamerkan prestasi cemerlang dalam acara regu Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 apabila mudah membenam cabaran Filipina dengan keputusan 2-0 dalam aksi terakhir Kumpulan D yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Rabu.
Tanpa memberi langsung ruang buat regu lawan, Malaysia mencatat kemenangan meyakinkan secara straight set 15-9, 15-6, sekali gus mara ke suku akhir kejohanan tersebut.
Dalam perlawanan tersebut, skuad negara menurunkan Syahir Rosdi sebagai tekong, Farhan Adam sebagai feeder dan Azlan Alias sebagai striker pada set pertama.
BACA LAGI: Sumbangan mungkin tak seberapa, cuma tak mustahil JDT kekalkan 3 bintang termasuk Jese Rodriguez
BACA LAGI: Makin ramai tinggalkan JDT, tak mustahil kiper senior, Keliboy, pemenang Kasut Emas ke Melaka
Skuad sepak takraw negara (jersi kuning) mudah menewaskan Filipina dengan straight set 15-19,15-6.
Gandingan berkenaan berjaya menampilkan permainan kemas dengan asakan tanpa henti untuk membolehkan Malaysia menamatkan set pertama dengan keputusan 15-9.
Bersambung set kedua, kem negara melakukan pertukaran dengan memasukkan Muhammad Haziq Hairul Nizam sebagai tekong menggantikan Syahir dan Khairul Aman Mohd Rosdi yang menggalas tugas sebagai perejam.
Namun begitu, kemasukan kedua-dua pemain tersebut dilihat memperlahankan rentak permainan pada penghujung set kedua, sekali gus menyebabkan skuad negara kehilangan beberapa mata.
Bagaimanapun, servis ace yang dilakukan oleh Haziq berjaya menamatkan kebangkitan Filipina, sekali gus memastikan kemenangan mutlak skuad negara dengan keputusan 15-6.
Sementara itu, jurulatih regu negara, Ahmad Mohd Zin menyifatkan kemenangan ke atas Filipina itu sebagai petanda positif menjelang aksi suku akhir bertemu Brunei.
"Secara keseluruhan, prestasi pasukan pada hari ini menunjukkan peningkatan yang ketara. Saya nampak semakin baik dan semakin improve berbanding dua perlawanan sebelum ini.
"Syukur Alhamdulillah, kita berjaya mendapatkan kemenangan ketiga dan seterusnya muncul sebagai juara Kumpulan D dan layak ke peringkat separuh akhir bertemu Brunei pada malam ini," katanya kepada media selepas perlawanan.
Tambahnya lagi, skuad negara tidak boleh memandang rendah kemampuan Brunei dan mengharapkan anak-anak buahnya mengekalkan momentum secara konsisten.
"Di atas kertas, peluang kita kelihatan baik. Namun begitu, kita tidak boleh mengambil mudah perlawanan ini.
"Kita perlu fokus dan perbaiki segala kekurangan yang ada. Saya yakin, jika kita bermain dengan apa yang kita miliki dan berikan sepenuh usaha.
"Insya-ALLAH kita mampu mencatat kemenangan. Namun, pemain perlu membuat persiapan rapi dan benar-benar bersedia untuk perlawanan penentuan ini," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram