
JUARA bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) terus menjadi perhatian apabila beberapa pemain utama mereka dilaporkan bakal meninggalkan kelab dalam masa terdekat.
Spekulasi mengenai rombakan besar-besaran ke atas skuad sedia ada juga semakin hangat diperkatakan. Meskipun terus menguasai saingan domestik, skuad Harimau Selatan dilihat masih bergelut untuk mencabar dominasi kelab-kelab elit Asia dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite.
Sehubungan itu, tidak mustahil sekiranya beberapa pemain yang dianggap kurang memberi impak sama ada di peringkat liga tempatan mahupun antarabangsa bakal dilepaskan.
BACA LAGI: Makin ramai tinggalkan JDT, tak mustahil kiper senior, Keliboy, pemenang Kasut Emas ke Melaka
Namun, status perpindahan mereka masih menjadi tanda tanya sama ada secara pinjaman atau perpindahan kekal.
Antara nama yang dikaitkan dengan perpindahan ialah Safawi Rasid yang dikatakan hampir pasti menyertai Negeri Sembilan FC musim depan.
Turut disebut-sebut juga ialah penjaga gol berpengalaman, Farizal Marlias serta penyerang naturalisasi kebangsaan, Mohamadou Sumareh yang berkemungkinan akan berhijrah ke Melaka FC.
Bagaimanapun, masih ada kemungkinan beberapa pemain kekal, termasuk bekas penyerang Real Madrid, Jese Rodriguez yang dilaporkan menyatakan minat untuk terus bersama JDT pada musim akan datang selepas mula menyesuaikan diri bersama kelab itu.
1. Jese Rodriguez
Antara nama yang dijangka mungkin dilepaskan oleh JDT musim depan ialah Jese selepas hanya merekodkan empat gol dan dua bantuan jaringan daripada 13 penampilan sejak menyertai kelab pada Oktober lalu.
Pulangan itu mungkin dilihat tidak setimpal dengan harapan tinggi yang diletakkan ke atas bekas penyerang Real Madrid itu, khususnya untuk membantu JDT melangkah lebih jauh di pentas Asia. Malah, kecederaan lampau turut menjejaskan minit permainannya, sekali gus mengekang impaknya secara konsisten musim ini.
Namun begitu, Jese telah menyatakan hasrat untuk terus kekal bersama JDT, memetik rasa selesa dan positif sepanjang kira-kira lapan bulan bersama juara Liga Super itu, jauh lebih stabil berbanding pengalaman tidak menentu di beberapa kelab terdahulunya di Eropah dan Amerika Latin.
Jese menyatakan hasrat untuk terus beraksi bersama JDT pada musim hadapan. — Facebook/JST
Walaupun belum mencapai prestasi kemuncaknya, pengalaman luas Jese di pentas Eropah, termasuk bersama Real Madrid dan Paris Saint-Germain (PSG) menjadikannya aset berharga dari sudut taktikal dan mentaliti kemenangan.
Kehadirannya turut membuka peluang promosi dan pengaruh JDT di luar negara, khususnya dalam kalangan peminat bola sepak di Sepanyol yang kini lebih mengenali jenama JDT.
Oleh itu, mempertimbangkan faktor pengalaman antarabangsa, Jese masih wajar diberikan peluang kedua untuk membuktikan kemampuannya bersama Harimau Selatan.
2. Jorge Obregon
Penyerang kelahiran Colombia, Jorge Obregon wajar dipertimbangkan untuk terus kekal bersama JDT bagi musim depan berdasarkan prestasi konsisten yang ditampilkan sepanjang kempen Liga Malaysia 2024.
Obregon mencatatkan rekod cemerlang dengan tujuh gol dan dua bantuan jaringan dalam 22 penampilan liga, satu statistik yang menggambarkan keupayaannya sebagai penyerang yang efektif dan berdisiplin di hadapan gawang lawan.
Selain itu, ketinggian fizikalnya yang mencecah 1.82 meter turut memberikan kelebihan dalam situasi bola tinggi dan perebutan di kotak penalti, sesuatu yang penting dalam corak permainan moden yang menuntut kekuatan fizikal dan penyudah tajam.
Obregon antara pemain import yang wajar dikekalkan selepas mencatat rekod prestasi cemerlang sepanjang musim bersama JDT. — Facebook/JST
Bukan itu sahaja, keupayaannya untuk menyesuaikan diri dengan corak taktikal JDT dalam masa yang singkat menunjukkan potensi besar untuk terus menyumbang dalam misi kelab mengekalkan dominasi domestik dan bersaing di peringkat Asia.
Dengan rekod dan impak yang ditinggalkannya musim ini, Obregon bukan sahaja layak dikekalkan, malah berpotensi menjadi tonggak utama JDT sekiranya diberi peluang berterusan.
3. Murilo Henrique
Meskipun sumbangan di hadapan gol tidak begitu menonjol, pemain pertahanan kiri, Murilo Henrique tetap membuktikan kepentingannya dalam struktur pasukan JDT sepanjang musim ini.
Murilo mencatat 17 penampilan Liga M menjaringkan satu gol dan melakukan tiga bantuan jaringan, satu statistik yang cukup baik bagi seorang pemain pertahanan. Namun, kekuatan sebenar Murilo tidak hanya terletak pada sumbangan ofensif, tetapi lebih kepada peranannya dalam mengekalkan kestabilan benteng pertahanan JDT.
Sebagai bek kiri, pengalaman dan ketenangannya di atas padang membantu memperkukuh bahagian sayap pertahanan, menjadikan laluan sukar buat pihak lawan untuk menembusi kubu Harimau Selatan.
Sebagai bek kiri, pengalaman dan ketenangan Murilo di atas padang mampu membantu memperkukuh bahagian sayap pertahanan. — Facebook/JST
Selain itu, kebolehannya untuk naik dan turun dengan baik sepanjang perlawanan menjadikannya aset berguna dalam corak permainan menyerang dan bertahan.
Murilo juga mempunyai kefahaman taktikal yang tinggi serta mampu beraksi konsisten dalam perlawanan besar, kualiti yang tidak mudah diganti dalam pasukan yang menyasarkan kejayaan di peringkat domestik dan benua.
Dengan usia yang masih dalam lingkungan kemuncak kerjaya dan pengalaman luas di posisi pertahanan, Murilo wajar dikekalkan bagi memberikan keseimbangan dan kestabilan dalam skuad JDT musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram