Penuhi syarat 5 tahun, sukar Jordan Mintah, import Terengganu, kelab Lembah Klang dinaturalisasi


  • Podium
  • Selasa, 13 Mei 2025

Dari kiri: Argzim, Bruno dan Jordan Mintah sudah menetap lebih dari lima tahun dalam arena bola sepak tempatan.

KETIKA ini, masih sibuk diperkatakan pemain manakah yang akan diberi status naturalisasi atau warisan kerana terdapat ramai calon dan pilihan dimiliki Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Nama hangat sudah tentu Bergson da Silva dan Giancarlo Gallifuoco kerana kedua-duanya berada dalam prestasi terbaik sepanjang lima tahun beraksi dalam arena tanah air.

Bagaimanapun, kata putus hanya boleh diberikan badan induk bola sepak negara itu yang sudah tentu enggan terburu-buru dalam memberi status tersebut ke mana-mana pemain.

BACA LAGI: Sebelum kehadiran Bergson, Liga Super pernah diwarnai 3 striker elit termasuk Marlon Alex James

BACA LAGI: Bergson hampiri rekod Indra Putra, kelab makin kurang percaya kualiti striker lokal

Kualiti dimiliki Bergson menjadikannya calon terbaik untuk diberi status naturalisasi. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Tetapi, selain dua nama tersebut, terdapat lambakan pemain import lain yang sudah memenuhi syarat lima tahun beraksi dalam Liga Malaysia, namun masih belum diberi status naturalisasi sehingga hari ini.

Ini kerana FAM sudah tentu beranggapan pemberian itu tidak menjanjikan perubahan besar memandangkan standard masing-masing tidak jauh meninggalkan bintang lokal.

Berdasarkan pemerhatian Majoriti, berikut merupakan tiga pemain yang sudah berada dalam negara melebihi lima tahun, tetapi sukar dikurniakan status naturalisasi pada tahun terdekat.

1. Argzim Redzovic

Bek tengah kelahiran Macedonia, Argzim Redzovic memulakan kariernya dalam Liga Super bersama PDRM FC pada 2018 yang menyaksikannya menghabiskan tempoh dua musim di sana sebelum berkelana ke Terengganu.

Sepanjang berada di Pantai Timur, pemain itu sukar merebut tempat dalam skuad utama kerana lebih kerap diletakkan di bangku simpanan atau kadang kala diberi minit beraksi bersama pasukan simpanan.

Bagaimanapun, jauh di hati penyokong Sang Penyu, mereka masih beranggapan bek tersebut boleh diberikan status naturalisasi kerana sudah memenuhi syarat menginap lebih lima tahun.

Argzim masih setia menanti peluang menjadi pemain naturalisasi baharu negara. Facebook/Terengganu FC

Tidak cukup dengan itu, Argzim sudah menyesuaikan diri dalam tradisi lokal selepas mengahwini gadis tempatan dengan ciri-ciri itu menjadikannya sesuai untuk dijadikan pemain naturalisasi baharu.

Namun, impian tersebut dilihat semakin sukar direalisasikan kerana dia lebih gagal merebut tempat dalam pasukan selain kerap mengalami isu kecederaan serta kecergasan.

Masalah tersebut semestinya menghalang bek berusia 33 tahun tersebut itu daripada menerima status warganegara, lebih-lebih lagi dengan Harimau Malaya mempunyai perancangan jangka masa panjang selepas ini.

2. Bruno Suzuki

Selepas lapan musim beraksi dalam arena bola sepak tempatan, Bruno Suzuki menjadi antara penyerang paling konsisten, termasuk pada kempen 2024/25 buat PDRM FC yang menyaksikannya meledak enam gol dalam 23 penampilan Liga Super.

Selain cukup berbisa di hadapan pintu gawang, pemain itu juga mempamerkan kelincahan dan kepantasan dalam membantu pasukan dengan aspek berkenaan amat diperlukan dalam skuad kebangsaan.

Usia Bruno yang semakin meningkat menyukarkannya meraih status tersebut. Facebook/PDRM FC

Bagaimanapun, sehingga hari ini, masih tiada sebarang kemungkinan besar buat Bruno Suzuki diberikan status tersebut kerana usianya yang sudah mencecah 34 tahun menyulitkan hasrat terbabit.

Meskipun masih memiliki kelebihan, penganugerahan status naturalisasi daripada FAM hanya akan menyaksikan Bruno menjadi penyelesaian jangka masa pendek yang tidak lagi sesuai diguna pakai hari ini.

Namun, sekiranya PDRM FC masih mahu mendesak badan induk bola sepak negara itu, ia boleh berlaku kerana ini akan memberi ruang buat kelab Lembah Klang tersebut membawa masuk lebih ramai import.

3. Jordan Mintah

Berdasarkan carta penjaring terbanyak Liga Super musim lalu, pemain di kedudukan teratas ialah Bergson yang hangat dikaitkan dengan Harimau Malaya sementara Paulo Josue di tangga kedua sudah menjadi pemain naturalisasi.

Bagaimanapun, jangan dilupakan penyerang di tangga ketiga iaitu Jordan Mintah yang beberapa kali diperkatakan sebagai penyerang baharu pasukan negara selepas memenuhi syarat lima tahun beraksi.

Mintah sudah beberapa kali dikaitkan seagai penyerang naturalisasi baharu negara. Facebook/Kuching City FC

Dia yang pada awalnya mewarnai arena bola sepak negara pada 2020 bersama Terengganu FC II kerap disebut sebagai pemain baharu Harimau Malaya, namun hal tersebut tidak pernah direalisasikan.

Meskipun masih muda, gaya permainan Mintah tidak menjanjikan perbezaan besar dalam skuad kebangsaan sekiranya hendak dibandingkan dengan Bergson atau mana-mana pemain lain.

Tidak terhenti di situ, terdapat laporan mengatakan pemain berasal dari Ghana berkenaan pernah terpalit dengan isu disiplin semasa beraksi buat skuad Sang Penyu sebelum menyertai Kuching City FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram