
SELAIN memiliki lambakan pemain bertaraf dunia, barisan kejurulatihan Johor Darul Ta'zim (JDT) juga berada dalam kelas tersendiri, baik dari ketua jurulatih sehingga ke kakitangan bawahan.
Ini merupakan resipi utama di sebalik dominasi pasukan di peringkat domestik selain kebolehan yang semakin diakui setiap kali berentap dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite.
Jadi, tidak hairanlah apabila setiap kali kakitangan mereka meninggalkan kelab itu, pasti terdapat pasukan lain di seluruh dunia yang berminat mendapatkan khidmat masing-masing.
BACA LAGI: Dari padang bola ke kandang lembu, bek kanan JDT selesa ceburi bidang penternakan
BACA LAGI: [VIDEO] ‘Perbincangan baik’, calon naturalisasi negara beri petanda tolak spekulasi ke JDT, Selangor
Haydee Agras yang sebelum ini bersama skuad Harimau Selatan merupakan contoh terbaik kerana tidak lama selepas menamatkan tempoh bersama JDT, dia ditawarkan peluang bersama kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Brentford sebagai penganalisis perlawanan.
Hal tersebut membuktikan kualiti dimiliki seseorang yang sudah menabur jasa bersama juara Liga Super itu menerima perhatian ramai sehingga sesebuah pasukan berkelas dunia juga enggan terlepas peluang mendapatkan mereka.
Baru-baru ini, seorang lagi bekas kakitangan JDT iaitu Angel Acena Rodriguez dikhabarkan bakal menyertai sebuah kelab ternama di Itali iaitu Udinese Calcio selepas kira-kira dua minggu menamatkan khidmat bersama skuad Hariamu Selatan.
Khabar angin tersebut dikongsikan menerusi satu hantaran di laman Instagram Palatao Bola yang mengatakan jurulatih kelahiran Sepanyol itu sudah dirisik, namun tidak dapat dipastikan sumber sebenar daripada ura-ura terbabit.
Bagaimanapun, melihat kepada pengalaman dimiliki Rodriguez, tidak mustahil sekiranya kelab sebesar Udinese mampu menawarkan kontrak kepadanya dengan harapan dia mampu mengubah tahap kecergasan pemain.
Alexis Sanchez kini beraksi buat Udinese Calcio yang berada di Itali. — Agensi
Jika dia secara rasmi menyertai kelab Serie A itu, dia akan berpeluang bekerjasama dengan beberapa nama besar, termasuk Alexis Sanchez yang pernah malap bersama Manchester United sebelum ini.
Pemain lain seperti bekas 'ubi muda' Perancis, Florian Thauvin dan Christian Kabasele yang pernah beraksi sebagai bek tengah Belgium juga pasti mengharapkan khidmat bekas jurulatih JDT itu dapat membantu mereka.
Ketika ini, jawatan jurulatih kecergasan Udinese diisi Francesco Tonizzo yang hanya berseorangan, sekali gus memerlukan Rodriguez untuk membantu pasukan berkenaan kembali ke tahap lebih baik.
Selain pernah berkhidmat bersama JDT, Rodriguez pernah menabur bakti bersama kelab di England, Watford serta Sevilla FC yang beraksi di divisyen teratas bola sepak Sepanyol.
Tidak terhenti di situ, sayap kariernya pernah dikembangkan di peringkat antarabangsa selepas berkhidmat sebagai ahli fisioterapi bersama Costa Rica serta Zambia beberapa tahun lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram