
KEGAGALAN menguruskan pasukan dengan baik menyaksikan beberapa kelab dilaporkan bakal 'gulung tikar' selepas tidak dapat memperolehi sumber kewangan lebih kukuh bagi musim akan datang.
Hal tersebut diburukkan lagi dengan bebanan hutang yang kian menggunung sehingga menyaksikan pemain tidak bersemangat untuk beraksi kerana kebajikan masing-masing diabaikan pihak bertanggungjawab.
Jadi, untuk memastikan karier tidak terhenti separuh jalan, beberapa pemain mengambil keputusan mencari kelab baharu bagi kempen akan datang dengan harapan ia memberi sinar baharu.
BACA LAGI: Pernah beri 'hint' mahu bersara, Fandi Ahmad kini dikait tugas baharu di Lembah Klang
BACA LAGI: Selangor sertai Liga S? Lebih banyak rugi berbanding untung, lagi-lagi kesinambungan ‘ubi muda’
Saingan Liga Super mula kebosanan selepas berita pembubaran beberapa kelab jelas kedengaran.
Tetapi, arena bola sepak negara yang semakin tidak terurus menyaksikan rata-rata daripada mereka sukar mencari destinasi buat musim depan selepas laporan menyatakan hanya kira-kira 10 kelab akan beraksi.
Sekiranya masalah itu berterusan, pemain dalam pasukan bermasalah, terutamanya yang masih berada di kategori 'ubi muda' perlu mengambil keputusan drastik dengan berkelana ke luar negara.
Meskipun penghijrahan tersebut adalah satu perjudian hebat, perpindahan itu wajar diambil demi mendapatkan pengalaman berharga selain memastikan kebajikan diri dan keluarga tidak diabaikan.
Berdasarkan pemerhatian, terdapat pemain muda dalam tiga kelab bermasalah iaitu Kedah Darul Aman (KDA) FC, Perak FC dan Sri Pahang FC yang sudah bersedia untuk mencari pendedahan dalam suasana berbeza.
1. T Saravanan (Sri Pahang FC)
Reputasi T Saravanan mula diketahui selepas pemain sayap skuad Tok Gajah itu meledak gol tunggal pasukannya semasa kekalahan 1-2 kepada Johor Darul Ta'zim di pentas akhir Piala Malaysia.
Namun, bagi peminat bola sepak setia, mereka sudah tentu cukup mengenali penyerang tersebut yang memiliki kelincahan seperti mana pernah dipamerkan bersama Kuala Lumpur (KL) City FC sebelum ini.
Potensi dimiliki Saravanan tidak boleh disia-siakan. — Facebook/Sri Pahang FC
Kepantasan dalam melepasi barisan pertahanan lawan merupakan aset besar, namun kebolehannya masih perlu digilap kerana sumbangannya di hadapan gawang masih belum cukup memberangsangkan.
Jadi, kelab-kelab Liga 1 Indonesia boleh memanfaatkan kelebihan dimilikinya, termasuk pasukan dalam kelompok pertengahan yang amat meminati seseorang dengan kelajuan sepertinya.
Bagaimanapun, landskap bola sepak di negara itu yang amat berbeza akan membuatkan Saravanan berfikir-fikir untuk merealisasikan perpindahan berkenaan kerana setakat ini, hanya Safee Sali pernah ke liga tersebut.
2. Shivan Pillay (Perak FC)
Sejak menyertai skuad The Bos Gaurus (TBG) dari Petaling Jaya (PJ) City FC, Shivan Pillay sudah menjadi watak utama dalam barisan pertahanan meskipun masih mentah di atas padang.
Ini kerana bek tengah berkenaan boleh dikategorikan tenang dalam melakukan hantaran, namun peka dalam usaha mematahkan serangan pihak lawan dengan perkara itu diakui Yusri Che Lah dan Datuk Lim Teong Kim.
Bagaimanapun, kebolehan pemain berusia 24 tahun itu tidak boleh diteruskan musim depan selepas laporan menyatakan Perak FC bakal dibubarkan selepas kesukaran pihak pengurusan mendapatkan dana mencukupi.
Bakat Shivan Pillay sebagai bek tengah masih boleh digilap. — Facebook/Perak FC
Masalah tersebut mendesak Shivan mencari mana-mana pasukan yang mengalami kepincangan dari segi pertahanan, tetapi sehingga kini, masih tiada kelab tempatan yang menyatakan minat kukuh terhadapnya.
Jadi, pilihan lain dimilikinya adalah dengan menyertai kelab di liga sekeliling seperti di Singapura yang mempunyai liga kompetitif tanpa sebarang masalah pengurusan dan kewangan menimpa.
Kelab seperti Lion City Sailors atau Geylang International sudah tentu menjadi pilihan terbaik buat Shivan dengan usianya yang masih muda mampu menjadi daya tarikan besar.
3. Afeeq Iqmal (KDA FC)
Pada penghujung musim Liga Super lalu, nama Afeeq Iqmal melonjak naik selepas pemain muda tersebut meledak susulan jaringan cantik dilakukan semasa berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT).
Meskipun tidaklah banyak melakukan jaringan selepas itu, perhatian penyokong KDA FC mula diberikan kepadanya dengan harapan kebolehannya mampu digilap bagi masa depan skuad Sang Kenari.
Afeeq (kanan) perlu meninggalkan negara demi kelangsungan karier. — Facebook/KDA FC
Bagaimanapun, laporan semasa mengatakan kelab Utara tanah air tersebut tidak akan bersaing musim depan berikutan kegawatan ekonomi dengan masa diberikan sudah semakin singkat.
Jadi, Afeeq perlu segera mencari penyelesaian dengan penghijrahan ke negara jiran seperti Thailand merupakan langkah terbaik bagi seseorang yang masih muda dan berpotensi.
Perpindahan sedemikian juga sudah membuahkan hasil buat beberapa 'ubi muda' seperti Fergus Tierney dan Muhammad Abu Khalil yang mula berkembang selepas berkelana ke liga tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram