
BAGI kebanyakan individu, menceburi bidang perniagaan merupakan antara pelan persaraan paling popular dan menguntungkan selepas menghabiskan masa bertahun-tahun bekerja, sama ada sejak usia muda mahupun awal karier.
Bagi bekas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Nazri Ahmad, dunia penternakan menjadi pilihan utama selepas bersara daripada arena bola sepak profesional, lapor Stadium Astro.
Minat mendalam terhadap industri tersebut mendorongnya meneruskan kehidupan pasca bola sepak dengan menjadi usahawan ternakan sepenuh masa.
BACA LAGI: Tchetche Kipre bakal tinggalkan bumi Kenyalang, dikata berhijrah ke kelab Utara
BACA LAGI: Hampir selesaikan 4 'transfer', nampak gayanya tanduk skuad Rusa makin tajam musim depan
Nazri (kiri) ketika mewakili JDT pada musim 2013. — Agensi
Menurut bekas pemain pertahanan Harimau Muda itu, perniagaan yang diusahakannya kini bukan sahaja membuahkan hasil lumayan, malah menekankan prinsip utama iaitu kualiti produk yang ditawarkan kepada pelanggan.
Dalam temu bual bersama pemerhati sukan tanah air, Zulhelmi Zainal Azam, Nazri mendedahkan bahawa dia memiliki kandang lembu berskala besar yang menempatkan pelbagai spesies lembu, selain memberi perhatian khusus terhadap penjagaan kesihatan ternakan.
“Selepas bersara, saya terus menceburi bidang penternakan. Lembu-lembu ini dikurung dan diberi makanan khas bagi memastikan kualiti daging meningkat dengan cepat," jelasnya.
Tambahnya lagi, kebanyakan lembu ternakannya dijual sempena Hari Raya Aidiladha, selain turut dipasarkan kepada penternak kecil di luar musim perayaan.
Nazri turut terpanggil untuk memperbetulkan tanggapan negatif terhadap perniagaan lembu yang sering kali dikaitkan dengan penipuan atau ketelusan harga dan kualiti.
Nazri Ahmad (kanan) sebelum ini pernah menyarung jersi Kelantan FC pada musim 2014. — FacebookJST
Bek kanan JDT itu mengakui pernah berdepan pengalaman tidak menyenangkan melibatkan pembekal tidak bertanggungjawab, sekali gus mendorong syarikat miliknya beroperasi dengan penuh integriti.
“Saya tak mahu pelanggan rasa tertipu. Kami mahu menjadi perniagaan yang jujur dan prihatin. Sebenarnya, saya sudah ceburi industri ini sejak zaman saya masih aktif bermain bola," ujarnya.
Nazri juga mengaitkan kejayaan dalam penternakan dengan prinsip yang dipelajarinya dari dunia bola sepak.
“Dalam perniagaan ini pun, saya perlukan satu pasukan yang besar, dengan pemain yang bagus. Sama seperti bola sepak, barulah boleh ‘skor’ bermaksud tahu hala tuju selepas proses jualan.
"Saya berhasrat untuk menjadi pemain utama dalam industri pembekalan lembu hidup dan daging segar di Malaysia,” ujarnya penuh tekad.
Nazri mengakhiri dengan harapan agar segala perancangan yang diusahakan dipermudahkan dan berkembang lebih pantas daripada yang dijangkakan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram