
DESAS-DESUS mengenai penghijrahan beberapa pemain Perak FC ke kelab lain semakin hangat diperkatakan susulan masalah kewangan yang terus membelenggu pasukan berpangkalan di Utara tanah air tersebut.
Situasi kewangan yang tidak menentu telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemain, terutamanya melibatkan soal tunggakan gaji serta ketidakpastian masa depan mereka bersama kelab.
Antara pemain yang dikaitkan akan meninggalkan skuad The Bos Gaurus (TBG) adalah Shivan Pillay, Ariff Ar-Rasyid Ariffin, Clayton dan ketua pasukan mereka iaitu Luciano Guaycochea selepas dia dikaitkan dengan kelab Indonesia.
BACA LAGI: 'Satu hati demi Perak FC', tubuh koperasi jadi harapan demi hidupkan semula TBG
BACA LAGI: 'Rumours' Pahang-KDA FC-Perak-KDN keluar Liga M, peniaga kecil tunggu masa hilang punca rezeki
Keadaan tersebut menimbulkan keresahan dalam kalangan penyokong setia The Bos Gaurus, yang bimbang pasukan kesayangan mereka bakal kehilangan tonggak penting jika isu berkenaan berlarutan.
Memberi respons mengenai situasi tersebut, Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi akur sekiranya terdapat mana-mana pemain yang mahu berhijrah ke kelab lain bagi musim baharu.
“Kita tak boleh menghalang sekiranya pemain mahu berhijrah ke kelab lain. Akan tetapi, jika ada pemain yang mahu menunggu untuk melihat status Perak FC, kita terima," katanya memetik pada sesi audio siar Channel 10 Malaysia.
Abdul Azim sebelum ini menegaskan bahawa usaha sedang giat dijalankan untuk menstabilkan kembali kelab, termasuk dengan rundingan bersama beberapa syarikat komersial.
Beliau mendedahkan bahawa sekurang-kurangnya tiga syarikat telah menyatakan kesediaan untuk membantu kelab berkenaan, yang kini sedang berdepan cabaran besar dari segi kewangan dan pengurusan.
Menurut beliau, inisiatif daripada syarikat luar berkenan memberikan sinar harapan buat skuad The Bos Gaurus yang sebelum ini bergelut dalam memastikan kelangsungan kelab dalam liga tempatan.
"InsyaAllah keputusan itu bakal berubah. Kita dapati bahawa terdapat dua atau tiga orang pelabur yang berminat untuk mengambil alih Perak FC.
"Kita dalam proses perbincangan dan harapnya dapat menemui kata sepakat seterusnya membenarkan mereka untuk mengambil alih Perak FC," jelasnya.
Memetik laporan media sebelum ini, Abdul Azim berkongsi bahawa pihak pengurusan Perak sudah melakukan yang termampu untuk membangunkan skuad Perak FC termasuk membelanjakan hampir RM40 juta.
Selain itu, Abdul Azim turut mendedahkan The Bos Gaurus hanya memiliki RM1 juta dalam bank untuk melangsaikan 20 peratus tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram