Cedera langgar tiang gol, penyerang kelab EPL koma lepas jalani pembedahan


  • Podium
  • Rabu, 14 Mei 2025

Awoniyi (tengah) ketika berlanggar dengan tiang gol pada minit ke-88 perlawanan Liga Perdana Inggeris pada Ahad lalu. — Agensi

PENYERANG Nottingham Forest, Taiwo Awoniyi kini diletakkan dalam keadaan koma selepas selesai menjalani pembedahan ekoran kecederaan abdomen serius dialami ketika perlawanan, menurut laporan media Inggeris.

Pemain antarabangsa Nigeria berusia 27 tahun itu berlanggar dengan tiang gol pada minit ke-88 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Leicester City di City Ground pada Ahad lalu ketika cuba menyambut hantaran silang dari Anthony Elanga.

Awoniyi, yang menyertai Forest dari Union Berlin pada Jun 2022, masuk sebagai pemain gantian menggantikan Ibrahim Sangare ketika lewat perlawanan dan hanya bermain selama lima minit sebelum kejadian itu.

BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal

BACA LAGI: 'Yuna peminat Liverpool', tak sampai setahun beroperasi, pasangan suami isteri di Klang pendam impian mahu setanding syarikat jersi di UK

Dia menerima rawatan segera di padang dan kemudian kembali bermain namun dilihat berada dalam keadaan tidak selesa akibat kecederaan untuk 10 minit terakhir perlawanan.

BBC antara agensi media Britain yang melaporkan awal Selasa bahawa Awoniyi telah diletakkan dalam keadaan koma selepas menjalani fasa pertama pembedahan.

Awoniyi, yang menyertai Forest dari Union Berlin pada Jun 2022. — Agensi

Dalam kenyataan awal pada Selasa, Forest mengesahkan Awoniyi telah menjalani pembedahan dan sedang pulih dengan baik.

"Nottingham Forest dapat mengesahkan bahawa Taiwo Awoniyi sedang pulih dengan baik setakat ini selepas menjalani pembedahan yang penting atas kecederaan abdomen serius yang dialaminya semasa perlawanan menentang Leicester City pada Ahad," kata kelab itu.

Reuters telah menghubungi Forest untuk mendapatkan komen lanjut.

Pemilik Forest, Evangelos Marinakis, dirakam memasuki padang selepas perlawanan pada Ahad dengan beliau dilihat bertengkar dengan pengurus pasukan, Nuno Espirito Santo.

Espirito Santo mengatakan insiden itu berpunca daripada rasa tidak puas hati pemilik terbabit tindakan pasukannya tidak menggantikan Awoniyi.

Pengurus Forest itu menambah bahawa pemain Nigeria itu dibiarkan beraksi di atas padang kerana salah faham antara bahagian kejurulatihan dan perubatan.

Pada Selasa, Forest menyangkal laporan bahawa Marinakis terlibat dalam pertengkaran mulut dengan pengurus. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram