Andai Amorim undur diri, tak mustahil Mourinho kembali ke Man United


  • Podium
  • Isnin, 12 Mei 2025

Mourinho kini disebut sebagai calon ideal menggalas tugas sebagai pengurus Man United. — Agensi

JOSE Mourinho dilaporkan kembali menjadi calon utama untuk mengambil alih jawatan pengurus Manchester United sekiranya Ruben Amorim meletak jawatan dalam masa terdekat.

Amorim, 40, yang dilantik menggantikan Erik ten Hag pada November lalu, kini berada di bawah tekanan susulan prestasi hambar pasukan.

Kekalahan 0-2 kepada West Ham di Old Trafford itu merupakan kekalahan kesembilan di laman sendiri musim ini sekali gus menyamai rekod terburuk kelab dan mencetuskan spekulasi mengenai masa depannya.

BACA LAGI: 'Bintang muda berdisiplin tinggi,' permata bola sepak Penang pilih Akademi JDT

BACA LAGI: Liga Indonesia lebih mencabar, tiada kelab dominan seperti di Malaysia — Bojan Hodak

Susulan kekalahan itu, pengendali dari Portugal tersebut mengeluarkan kenyataan mengejut dengan memberi bayangan akan berundur sekiranya gagal memperbaiki prestasi pasukan yang kini menghuni tangga ke-16 Liga Perdana Inggeris (EPL), hanya mengumpul 39 mata dengan dua perlawanan berbaki.

Sekiranya Amorim berundur, Mourinho, 62, kini dikatakan menjadi calon pilihan utama untuk kembali ke Old Trafford.

Amorim yang mengambil alih tugas pengendali sejak November, kini berdepan tekanan hebat selepas gagal meningkatkan prestasi pasukan. — Agensi

Bekas pengendali United itu pernah membimbing kelab dari Mei 2016 hingga Disember 2018, dan berjaya menghadiahkan dua kejuaraan iaitu Piala Liga dan Liga Europa pada musim 2016/17 sebelum meninggalkan kelab akibat ketegangan dengan pihak pengurusan.

Sejak pemergian Mourinho, United hanya kembali menjulang trofi menerusi kejayaan merangkul Piala Liga 2023 di bawah Erik ten Hag.

Sementara itu, kejayaan terakhir Mourinho hadir bersama AS Roma apabila dia memenangi Liga Konferens Eropah pada 2022.

Selain Mourinho, pengurus Ipswich Town, Kieran McKenna turut berada dalam senarai pendek.

McKenna, yang berasal dari Ireland Utara, pernah berkhidmat sebagai jurulatih di bawah kendalian Mourinho dan Ole Gunnar Solskjaer dan masih dihormati meskipun gagal menyelamatkan Ipswich daripada penyingkiran musim ini.

Di kedudukan ketiga calon berpotensi ialah bekas pengendali England, Gareth Southgate, yang masih belum kembali ke dunia pengurusan selepas menamatkan tugasnya bersama skuad kebangsaan sejurus tamat Euro 2024. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram