
DI tengah-tengah kesibukan ibu kota Kuala Lumpur, terletak sebuah kedai basikal yang mungkin tidak sebesar atau segah jenama antarabangsa, tetapi mempunyai daya tarikan tersendiri baik daripada segi pendekatannya terhadap pelanggan, mahupun falsafahmemacu perjalanannya.
Outsider Bikes yang beroperasi di REXKL, Jalan Sultan, Kuala Lumpur bukan sekadar kedai biasa, ia merupakan satu cerminan terhadap kecintaan mendalam kepada dunia dua roda khususnya basikal aktiviti luar atau adventurous bicycle.
Pengasas Outsider Bikes, Ahmad Rushdi Adlan, 41, atau lebih mesra dikenali Shidi bukan individu berasal dari dunia bisnes atau sukan berbasikal.
BACA LAGI: Produk wangian eksklusif Medin Fragrance mahu terjemah seni, budaya dan sejarah Malaysia
Memiliki latar belakang pendidikan dalam bidang kejuruteraan mekatronik, beliau turut pernah bekerja seketika dalam industri tersebut sebelum mengambil keputusan beralih arah.
Namun, minatnya terhadap basikal yang bermula lama sejak sekitar 2009 kemudiannya membawa beliau ke dunia yang berbeza.
“Masa tu tengah trend basikal 'fixi'. Saya pun terikut. Daripada situ, minat tu berkembang.
"Kemudian saya pun cuba bertukar-tukar basikal sampai mula minat kepada adventurous bicycle.
"Daripada situ juga saya mula asaskan kumpulan peminat basikal untuk berkayuh dan trip berkhemah,” kata Rushdi yang juga merupakan pengasas komuniti Pedal Malaya.
Rushdi menunjukkan mengenai basikal yang sedang dibaiki di kedainya.
Setelah beberapa tahun melayan hobi tersebut secara sambilan, pandemik Covid-19 menjadi titik perubahan buatnya.
Ketika orang ramai mula memilih aktiviti luar seperti berlari dan berbasikal sebagai alternatif gaya hidup sihat, Rushdi melihat potensi lebih serius dalam dunia basikal.
Pada waktu itu, beliau awalnya mula membantu di kedai basikal seorang rakannya di Kampung Baru, Kuala Lumpur sebagai mekanik pada 2021.
"Masa itu saya punya kemahiran mekanik boleh dikatakan agak baik dengan pengalaman bermain basikal sejak 2009.
"Kemudian dengan latar belakang pendidikan saya daripada bidang kejuruteraan, saya pun cepat belajar," kongsinya.
Rushdi menekankan kepentingan untuk memastikan perkhidmatan di kedainya difokus mengikut keperluan pelanggan.
Bagaimanapun, hanya selepas beberapa bulan bertugas di kedai terbabit, Rushdi mendapat tawaran untuk membuka kedai membaiki basikal di ibu negara.
Dengan jumlah sewaan yang berpatutan, beliau melihat peluang tersebut sebagai sesuatu yang boleh dilakukannya untuk mula membina kedai basikal sendiri.
SH: Modal RM5,000
Tidak seperti kedai lain yang bermula dengan pelaburan ratusan ribu, Outsider Bikes bermula dengan asas yang sangat sederhana.
“Saya buat semuanya sendiri. Rak, meja, panel kayu—semua DIY atau guna barang second-hand.
"Saya cuba elak habis duit pada renovasi, fokus lebih kepada inventori seperti rantai, minyak dan getah tayar,” katanya.
Rushdi menunjukkan antara peralatan yang digunakan bagi membaiki basikal.
Sejak awal, Outsider Bikes memberi tumpuan terhadap basikal aktiviti luar seperti gravel bike, touring bike dan mountain bike.
Meskipun begitu, Rushdi berkata, perkhidmatan ditawarkan di premisnya adalah menyeluruh bagi semua jenis basikal bermula daripada menukar tayar dan rantai sehinggalah mengubah suai basikal mengikut kehendak pelanggan.
Menurutnya, tidak cukup hanya sekadar membaiki dan menjual barangan basikal, beliau turut menekankan kepentingan untuk memastikan perkhidmatan ditawarkan itu lebih difokuskan mengikut keperluan pelanggan.
Menurut Rushdi, beliau pernah melakukan ubah suai basikal dengan kos mencecah RM50,000.
"Itu memang kita buat daripada A hingga Z. Biasanya untuk ubah suai macam ini kita memang ikut cita rasa pelanggan apa yang dia nak untuk setiap bahagian basikal mereka," ujarnya yang turut memaklumkan terdapat daripada bahagian yang digunakan itu agak memakan masa kerana perlu ditempah dari luar negara antaranya di Amerika Syarikat dan United Kingdom.
Antara aksesori basikal yang dijual di Outsider Bikes.
Dalam pada itu, Rushdi berkata, ketika ini, kedainya boleh menjana pendapatan bulanan antara RM5,000 hingga lebih RM10,000 untuk perkhidmatan yang disediakan di bengkelnya.
Bagaimanapun, tidak hanya sekadar berharap untuk menjadikannya sebagai sumber menjana pendapatan, Rushdi berkata, beliau berharap agar Outsider Bikes mampu menjadi tempat bagi membina komuniti berbasikal lebih sihat khususnya di Lembah Klang.
Pada waktu ini, beliau berkata, pelanggannya terdiri daripada latar belakang pelbagai bermula daripada pekerja asing yang menggunakan basikal sebagai pengangkutan utama, peminat basikal, selain pelancong yang melakukan kayuhan jelajah di Malaysia.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram