
SELEPAS 10 musim berkhidmat buat Manchester City, Kevin de Bruyne mengesahkan bahawa dia akan meninggalkan kelab tersebut pada jendela perpindahan akan datang bagi membuka lembaran baharu dalam kariernya.
Pemain tengah itu muncul sebagai watak penting dalam kejayaan pasukan semasa menjulang Liga Juara-Juara UEFA (UCL) 2022/23 selain mengungguli enam gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).
Tidak terhenti di situ, kapten skuad antarabangsa Belgium tersebut turut menjadi antara pemain terbaik dalam sejarah The Cityzens dengan 108 gol dan 177 bantuan jaringan direkodkan dalam 419 penampilan.
BACA LAGI: [VIDEO] Siap mencarut, De Bruyne terang-terang berang 'generasi emas' Belgium digelar gagal
BACA LAGI: [VIDEO] Kecewa aksi kurang padu jadi punca de Bruyne, Belgium kena boo fans sendiri
De Bruyne menikmati tempoh cukup baik sepanjang 10 musim bersama Manchester City. — Agensi
Sumbangan demi sumbangan dicurahkan membuatkan ramai sebak akan pemergian de Bruyne, namun masing-masing terbuka menerima keputusan pihak pengurusan yang tidak berminat menyambung kontraknya.
Tetapi, sehingga hari ini, ramai terus tertanya-tanya mengenai masa depan pemain berusia 33 tahun itu kerana dia belum menyatakan destinasi bakal ditujunya bagi kempen baharu meskipun pelbagai pasukan dilaporkan berminat.
Ini termasuk pendahulu Serie A, Napoli yang bercita-cita besar untuk mendapatkannya selain beberapa kelab di Amerika Syarikat dan Arab Saudi dengan masing-masing bersedia membuat pelaburan besar bagi menandatanganinya.
Bagaimanapun, baru-baru ini, timbul khabar angin baharu mengatakan de Bruyne terbuka untuk menyertai seteru domestik Manchester City, Liverpool yang sudah rasmi menjuarai EPL 2024/25.
Conte (kiri) dan Napoli dilaporkan amat tertarik untuk mendapatkan khidmat de Bruyne secara percuma. — Agensi
Menurut perkongsian CalcioNapoli1926, pemain berkenaan amat tertarik dengan tawaran diberikan kelab kendalian Arne Slot itu yang enggan terlepas peluang membawa masuk antara pemain tengah terbaik dalam sejarah.
Namun, sehingga kini, tidak dapat dipastikan sama ada Liverpool sudah menawarkan kontrak seperti mana dilaporkan atau ia hanya khabar angin tidak berasas kerana hanya Napoli sudah membuat pendekatan sedemikian.
Sekiranya de Bruyne menyertai skuad The Reds, ia pasti menjadi perpindahan paling sensasi kerana ia bukan sahaja dapat meneruskan dominasi pasukan itu di pentas domestik, malah di peringkat Eropah.
Ini kerana meskipun tiada pemain kreatif di posisi tengah, pasukan itu masih berjaya menjulang takhta EPL selain beraksi cemerlang dalam UCL sebelum dikecewakan finalis, Paris Saint-Germain di pusingan 16 pasukan terbaik.
Gandingan tiga serangkai mampu dicipta di samping Alexis Mac Allister, Dominik Szoboszlai mahupun Ryan Gravenberch sudah tentu akan memudahkan kelab terbabit untuk mendominasi buat beberapa musim lagi. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram