
FENOMENA pemain Indonesia khususnya tonggak warisan mereka yang tidak lagi kekal di liga luar negara semakin ketara dengan ramai bakat muda dan berpengalaman memilih untuk kembali beraksi di Indonesia atau negara serantau.
Meskipun memiliki kualiti permainan yang kompetitif dan potensi besar, kehadiran mereka dalam liga luar negara lagi-lagi di pasaran Eropah semakin berkurangan sejak kebelakangan ini.
Punca utama situasi pemain Indonesia semakin kurang mendapat tempat dikaitkan dengan persaingan sengit di liga luar serta keutamaan sesetengah kelab terhadap tonggak import dari benua lain.
BACA LAGI: Sang Garuda nafi jemput Malaysia-Lubnan adakan aksi persahabatan
BACA LAGI: Perlukan mesin cetak gol? TFC-Sabah-Penang boleh sambar 'top scorer' Liga Indonesia
Namun begitu, situasi berkenaan turut membuka peluang kepada kelab-kelab dari negara jiran, termasuk Malaysia, untuk mendapatkan pemain Indonesia yang berkualiti dengan nilai pasaran yang lebih berpatutan.
Dalam konteks Liga Super Malaysia, beberapa pasukan dilihat berpotensi untuk mengambil kesempatan ini dengan menyasarkan pemain dari Indonesia yang bebas kontrak atau kurang mendapat minit permainan.
Tiga kelab yang dilihat paling berpotensi untuk merebut khidmat pemain ini adalah Sabah FC, Terengganu FC (TFC) dan Melaka FC masing-masing sedang mengisi kekosongan dalam skuad mereka menjelang jendela perpindahan akan datang.
Sekiranya tiga kelab berkenaan dapat melakukan pemantauan dan pemilihan dengan teliti, bakat Indonesia yang kini mencari makan di luar negara boleh menjadi aset berharga kepada Liga Malaysia (Liga M).
Oleh itu, kali ini Majoriti menyenaraikan tiga pemain warisan Indonesia yang sesuai diletakkan dalam senarai untuk musim baharu Liga M nanti.
1) Rafael Struick ke Sabah FC
Sabah FC mungkin boleh memiliki calon ideal untuk menggantikan tempat penyerang sayap kiri, Saddil Ramdani yang semakin hampir meninggalkan kelab itu dengan dia dikhabarkan akan kembali ke Indonesia bersama Persib Bandung dan Persis Solo.
Rafael Struick yang juga beraksi di posisi sama dilihat sebagai pengganti yang berpotensi tinggi dengan pakej kemahiran teknikal, kepantasan, dan pengalaman antarabangsa bersama skuad kebangsaan Garuda.
Pemain berusia 22 tahun tersebut kini beraksi bersama Brisbane Roar dalam saingan Liga Australia divisyen pertama dan sebelum ini berpengalaman bermain dengan kelab Belanda iaitu ADO Den Haag.
Sejak menyertai Brisbane Roar pada September 2024, pemain warisan Indonesia-Belanda tersebut diberikan peluang tampil dalam 13 perlawanan domestik dan hanya merekodkan satu jaringan gol sahaja.
Tiada peluang untuk mengumpul minit permainan yang banyak itu, pasti mempengaruhi pemain berketinggian 1.85 meter berkenaan untuk mencari kelab baharu dengan ia juga boleh memperbaiki karier bola sepaknya.
Jika The Rhinos mahu dalam mendapatkan khidmatnya, kehadiran Struick bukan sahaja mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan Saddil, malah berpotensi menjadi ikon baharu di Likas serta membantu kelab itu terus bersaing di pentas domestik dan serantau.
2) Shane Pattynama ke TFC
Skuad Sang Penyu berpeluang memperkukuh benteng kiri mereka dengan membawa masuk pemain naturalisasi Indonesia, Shane Pattynama, sebagai pengganti ideal kepada Alif Zakaria yang masih bergelut dengan kecederaan.
Pada Februari lepas, pihak pengurusan Peteh mengesahkan bek kiri berusia 26 tahun itu perlu berehat panjang akibat kecederaan ligamen anterior krusiat (ACL) dengan sehingga kini masih tiada bayang, Alif boleh kembali pada awal musim bazaru nanti.
Manakala, pemain kedua Terengganu di posisi pertahanan kiri iaitu Arif Fadzilah pula berkemungkinan akan kekal di Kuching City FC selepas pemain itu cemerlang sepanjang menjadi tonggak pinjaman di kelab Borneo itu.
Pattynama yang sebelum ini beraksi bersama klub KAS Eupen di Belgium sudah disahkan meninggalkan pasukan divisyen kedua berkenaan dan status ejen bebasnya membolehkannya untuk mencari pengalaman di pasukan baharu.
Dengan latar belakang bermain di Eropah serta pengalaman bersama skuad kebangsaan Indonesia, pemain berusia 26 tahun itu memberi nilai tambah dari segi ketahanan fizikal dan pengalaman berbeza untuk skuad Pantai Timur berkenaan.
Sekiranya Terengganu FC serius mahu meningkatkan kualiti pertahanan dan mengurangkan kebergantungan kepada pemain tempatan yang belum benar-benar menyerlah, mendapatkan khidmat Pattynama adalah langkah tepat.
3) Sandy Walsh ke Melaka FC
Selepas muncul juara Liga A1 Semi Pro 2024, Melaka FC pastinya merancang untuk memperkuatkan skuad mereka menjelang kemunculan semula dalam saingan Liga Super musim depan.
Persiapan awal sudahpun bermula, dengan laporan menyebut Melaka sedang mengintai tiga pemain berpengalaman tanah air iaitu bek kiri Sri Pahang, Syazwan Andik, pemain sayap, T. Saravanan dan pemain tengah Sabah FC, Irfan Fazail.
Dalam usaha membina pasukan yang lebih kompetitif, Melaka juga boleh mempertimbangkan pemain warisan Indonesia-Belgium iaitu Sandy Walsh bagi memperkukuhkan bahagian pertahanan kanan mereka.
Walsh yang baru berhijrah ke kelab gergasi Jepun, Yokohama F. Marinos bergelut untuk mendapatkan minit permainan di kelab tersebut dengan dia hanya merekodkan lapan perlawanan termasuk tiga aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) sahaja.
Kekurangan minit permainan di peringkat kelab akan mempengaruhi jurulatih Indonesia iaitu Patrick Kluivert untuk memilihnya dalam skuad kebangsaan mereka bagi misi pusingan keempat Kelayakan Piala Dunia 2026.
Oleh itu, dengan hasrat pemain berusia 30 tahun itu yang mahu terus beraksi bersama Sang Garuda, peluang untuk menyertai skuad baharu seperti Melaka mungkin menjadi langkah terbaik buat kariernya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram