[VIDEO] ‘Perbincangan baik’, calon naturalisasi negara beri petanda tolak spekulasi ke JDT, Selangor


  • Podium
  • Jumaat, 09 Mei 2025

Giancarlo Gallifuoco kekal bersama KL City bagi musim depan. — Twitter/giange94

KEM Kuala Lumpur City FC kini boleh menarik nafas lega selepas tonggak utama mereka, Giancarlo Gallifuoco, disahkan kekal bersama pasukan bagi musim depan.

Perkembangan itu diumumkan sendiri oleh pemain pertahanan tersebut menerusi satu hantaran ringkas di laman X miliknya, sekali gus menepis segala spekulasi mengenai perpindahannya yang tersebar luas sebelum ini.

Gallifuoco sebelum ini dikaitkan dengan dua gergasi bola sepak tempatan, Selangor FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

BACA LAGI: TFC tidak lagi berada dalam senarai 'transfer ban' FIFA

BACA LAGI: Sayang tinggalkan Malaysia, 3 import hanya salin baju kelab Liga M

Namun, segala teka-teki terjawab apabila Gallifuoco memuat naik gambar bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar.

"Perbincangan masa depan yang cerah," katanya ringkas di laman X.

Syed Yazid turut tampil mengesahkan bahawa pemain kelahiran Australia itu akan terus menyarung jersi The City Boys musim depan.

Lebih menggembirakan penyokong KL City, kapten pasukan Paulo Josue juga disahkan kekal bersama kelab, menunjukkan kestabilan dalam struktur pasukan menjelang musim baharu.

Gallifuoco, yang turut disebut-sebut sebagai calon naturalisasi, merupakan antara tunjang utama pasukan sejak tiga musim lalu.

Sumbangannya jelas terbukti apabila dia memainkan peranan penting dalam kejayaan KL City menjulang Piala Malaysia 2021, serta muncul naib juara Piala AFC 2022 dan Piala FA 2023.

Kekalannya di KL City bukan sahaja menjanjikan kekuatan di barisan pertahanan, malah memberi gambaran bahawa kelab Lembah Klang itu serius dalam usaha membina skuad kompetitif bagi menghadapi cabaran Liga Super musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram