KETUA pasukan Belgium, Kevin De Bruyne berang selepas skuad The Red Devils tersingkir Euro 2024 apabila tewas 0-1 kepada Perancis dalam saingan kalah mati di Duesseldorf, Jerman pada Selasa.
Hanya pada minit ke-85, Perancis berhasil lolos ke pusingan lapan terbaik apabila pemain pertahana Belgium, Jan Vertonghen berhasil menampan masuk ke dalam gawang mereka sendiri.
Susulan berada dalam mod kurang gembira dek kekalahan yang dialami, De Bruyne bertambah marah dan menggelar wartawan kurang cerdik selepas ada salah seorang wartawan membangkitkan soalan mengenai generasi emas Belgium gagal.
BACA LAGI: Mbappe 'troll' pertahanan Belgium lepas skor gol sendiri
BACA LAGI: 'Saya tak selesa', Mbappe beri sebab kenapa sering bertukar-tukar topeng
"Mengapa generasi emas Belgium tidak boleh memenangi apa-apa?" tanya wartawan itu, dipetik daripada media antarabangsa.
"Adakah anda fikir Perancis, England, Sepanyol dan Jerman tidak mempunyai generasi emas?," jawab De Bruyne yang kemudian meninggalkan sesi sidang media berkenaan dalam keadaan marah.
Kontroversi berlaku apabila pemain berusia 33 tahun itu beredar dari bilik sidang media dan dia dikesan oleh kamera menyebut perkataan 'bodoh' dan ia seolah-olah merujuk kepada wartawan yang bertanya soalan terakhir kepadanya.
Selepas video berkenaan menjadi tular di media sosial, wartawan yang bertanyakan soalan kepada De Bruyne iaitu Tancredi Palmeri memberikan pesanan khas kepada de Bruyne menerusi akaun X miliknya.
"Stupid": Kevin De Bruyne angry after a question about his "golden generation" who didn't win anything #belgium #frabel #euro2024 pic.twitter.com/7z7bOzsbh1
— JS Grond-Tran (@JS_Grond) July 1, 2024
"Hei Kevin, ini nota kecil untuk anda. Generasi emas seperti Perancis, England, Jerman dan Sepanyol semuanya boleh mara ke final. Inilah jenis pemain bola sepak yang hanya mahu soalan tentang kehebatannya,” katanya.
De Bruyne merupakan sebahagian daripada skuad Belgium yang digelar 'generasi emas' kerana barisan bakat bertaraf dunia berada dalam pasukan itu namun mereka gagal untuk mencapai prestasi memuaskan di pentas antarabangsa terutama kejohanan Euro.
Mereka tersingkir pada peringkat suku akhir Euro 2016 dan Euro 2020, memperoleh tempat ketiga di Piala Dunia 2018 dan Red Devils turut tersingkir pada peringkat kumpulan bagi Piala Dunia 2022.
Pemain bertaraf bintang seperti Eden Hazard, De Bruyne, Romelu Lukaku, Thibaut Courtois beraksi untuk Belgium dalam kejohanan berkenaan sejak 2016 namun trofi masih gagal dirangkul oleh mereka. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram