KAPTEN PSM Makassar, Yuran Fernandes meluahkan rasa tidak puas hati terhadap mutu pengadilan perlawanan selepas pasukannya tewas 1-3 kepada PSS Sleman dalam aksi minggu ke-31 Liga 1 Indonesia di Stadium Maguwoharjo, Sleman, Jogjakarta, Indonesia pada Sabtu.
Dalam sidang media pasca perlawanan, pemain import beraksi di posisi bek tengah itu secara terbuka mengkritik keputusan-keputusan yang dianggap berat sebelah dan memberi kelebihan kepada pasukan tuan rumah.
Antaran yang dianggap tidak adil oleh Fernandes ialah ketika golnya dibatalkan pada minit ke-12 selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) yang mendakwa dia menolak pemain lawan sebelum menjaringkan gol.
BACA LAGI: FIFA dilapor gantung TFC, mungkin ada kaitan tunggakan gaji Ivan Mamut
BACA LAGI: Ivan Mamut luah kecewa, gaji tak dibayar lebih 9 bulan
“Semua orang lihat apa yang berlaku. Pengadil datang ke sini bukan untuk bekerja secara profesional, tapi seolah-olah membantu Sleman,” kata pemain kelahiran Cape Verde berkenaan baru-baru ini.
PSM Makassar sempat mendahului menerusi jaringan penyerang import, Nermin Haljeta pada minit ke-24, namun pasukan tuan rumah pantas menyamakan kedudukan dua minit kemudian melalui Dominikus Dion.
Kontroversi berterusan apabila insiden tolak terhadap pemain PSM, Fahrul Aditia di kotak penalti tidak diberikan sepakan penalti, dan jaringan Gustavo Tocantins yang disahkan pengadil walaupun terdapat aksi tolak terhadap Syahrul Lasinari menambahkan lagi ketegangan.
Pemain berusia 30 tahun tersebut menyifatkan mutu pengadilan sebagai berat sebelah dan menyarankan agar pengadil perlawanan ketika itu, Nendi Rohaendi digugurkan daripada Liga 1 Indonesia.

Fernandes (dua dari kanan) ketika sidang media pasca perlawanan.
"Saya rasa dia tidak layak bekerja di Liga 1, Liga 2 bahkan Liga 3. Dan saya harap kariernya berakhir di situ," tegas Fernandes.
Bukan itu sahaja, Fernandes turut menyentuh soal kelayakan pengadil di Indonesia dengan mendakwa tiada lesen Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dalam kalangan mereka.
“Itulah masalahnya. Tidak ada hormat terhadap kami atau pasukan Sleman yang bekerja keras untuk keluar dari zon penyingkiran," katanya.
Tidak terhenti di bilik sidang media, Fernandes meneruskan kecamannya terhadap bola sepak Indonesia di Insta Story miliknya @yu4anfernandes pada Ahad, dengan membandingkan insiden pembatalan golnya dengan gol sah dalam perlawanan Liverpool.
Pertahanan tengah tersebut memuat naik klip perlawanan yang menunjukkan golnya dibatalkan serta satu lagi klip jaringan pemain Liverpool dalam situasi serupa yang tidak dibatalkan oleh pengadil.
Tangkap layar hantaran dari Fernandes pada Ahad.
Dalam kapsyen yang ditulis pada hantaran terseut, Fernandes melabel bola sepak Indonesia sebagai bahan jenaka dan menuduh sistem yang ada sarat dengan rasuah.
“Jika anda mahu cari duit, datanglah ke Indonesia. Tapi jika anda mahu bermain bola sepak secara serius, jauhilah dari Indonesia,” tulisnya.
Kenyataan tersebut sememangnya mencetuskan reaksi pelbagai pihak, termasuk penyokong bola sepak Indonesia yang menyuarakan kebimbangan terhadap integriti pengadilan dalam saingan domestik mereka.
PSM Makassar kini harus segera bangkit dalam baki tiga perlawanan terakhir Liga 1 untuk memastikan kedudukan mereka kekal kompetitif. Dalam masa sama, kritikan Fernandes dijangka mencetuskan perbincangan lebih luas mengenai tahap profesionalisme pengadilan dan struktur bola sepak Indonesia secara keseluruhan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
