[VIDEO] Aksi misteri 'bermonolog' Ronaldo lepas kalah undang pelbagai persoalan


  • Podium
  • Jumaat, 02 Mei 2025

Al-Nassr terpaksa akur tewas 2-3 kepada wakil Jepun iaitu Kawasaki Frontale. — Agensi

DIBARISI bintang bola sepak dunia tidak mendatangkan pulangan buat kelab gergasi Arab Saudi iaitu Al-Nassr selepas tersingkit dari peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ALCE) pada Khamis.

Dalam pertembungan di King Abdullah Sports City, Jeddah, Arab Saudi itu menyaksikan Al-Nassr terpaksa akur tewas 2-3 kepada wakil Jepun iaitu Kawasaki Frontale yang menyenaraikan satu import sahaja sebagai kesebelasan utama.

Al-Nassr yang diketuai Cristiano Ronaldo sebagai kapten itu turun dengan tekad untuk membantu pasukannya ke final ACLE namun hakikatnya, banyak deretan peluang disia-siakan oleh pasukan bimbingan Stefano Pioli tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] Tak kenal erti penat, Bruno Fernandes hanya mahu rehat andai sudah tidak bernyawa

BACA LAGI: Jika hanya mahu main UCL, jangan datang ke Man United — Ruben Amorim

Kawasaki meledak terlebih dahulu dengan Tatsuya Ito memecahkan kebuntuan hanya pada minit ke-10 perlawanan. Al Nassr kemudian menyamakan kedudukan pada minit ke-28 dengan gol daripada bekas bintang Liverpool, Sadio Mane.

Menjelang ke bilik persalinan, Yuto Ozeki kembali meletakkan Kawasaki di depan pada minit ke-41 permainan dan Al-Nassr pula terus bergelut untuk mencari gol penyamaan sehingga babak pertama berakhir.

Separuh masa kedua permainan menyaksikan Akihiro Ienaga menjaringkan gol ketiga buat pasukan bimbingan Shigetoshi Hasebe, manakala Al-Nassr sekadar menambah satu jaringan menerusi Ayman Yahya pada minit ke-87.

Pengadil perlawanan selepas itu memberikan enam minit waktu kecederaan dengan Ronaldo melepaskan tiga peluang keemasan sepanjang tempoh berkenaan, sekali gus perlu akur pasukannya tersingkir.

Kekalahan itu sukar ditelan oleh bintang Protugal berkenaan apabila klip yang tersebar di media sosial menyaksikan Ronaldo berulang kali mengangkat bahu dan kelihatan bertengkar dengan dirinya sendiri.

Ronaldo memberi isyarat dengan tangannya dan seolah-olah bercakap dengan dirinya sendiri sambil menahan kekecewaannya. Usai tempoh monolog itu, penyerang berkenaan Ronaldo meletakkan tangannya di pinggang dan memandang ke langit sebelum meninggalkan padang.

Meskipun kecewa dengan keputusan perlawanan, Ronaldo cuba untuk kekal ceria dengan memuat naik beberapa foto beserta kapsyen positif di media sosial sebagai tanda penghargaan kepada penyokong.

"Kadang-kadang impian itu perlu menunggu. Saya bangga dengan pasukan ini dan segala yang kami berikan di atas padang.Terima kasih kepada semua peminat yang mempercayai kami dan berada di sisi kami. Sokongan anda amat bermakna," katanya.

Kini, fokus Ronaldo dan Al-Nassr beralih pula kepada saingan Saudi Pro League (SPL) dengan pasukan di kedudukan ketiga itu bakal menentang pendahulu liga iaitu Al-Ittihad pada 8 Mei ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram