
PEMAIN tengah Arsenal, Declan Rice melaungkan keyakinan yang pasukannya begitu sukar untuk ditewaskan oleh mana-mana pihak jika mereka tahap kemuncak prestasi.
Pemain antarabangsa England itu berkata demikian menjelang aksi penting separuh akhir kedua Liga Juara-Juara UEFA (UCL) menentang Paris Saint-Germain (PSG).
Ketinggalan 0-1 di tangan juara Ligue 1 pada aksi perlawanan pertama, Arsenal perlu memastikan kemenangan ke atas PSG supaya mereka boleh layak ke perlawanan akhir bertemu Inter Milan.
BACA LAGI: Lakar sejarah UCL, Arteta-Arsenal makin 'tamak'
BACA LAGI: Arteta dedah hubungi Guardiola, rahsia Arsenal benam Real Madrid kali pertama sejak 2009
Declan Rice yakin Arsenal boleh ke perlawanan akhir. — Agensi
Kata Rice yang menjadi wira Arsenal di suku akhir bertemu Real Madrid berkata, The Gunners perlu datang ke Paris dengan semangat dan keberanian.
"Kami mahu menjadi versi yang terbaik untuk kami, dan kami tahu kami boleh buat, tiada apa yang boleh halang kami untuk ke perlawanan akhir.
"Anda tidak boleh datang ke separuh akhir di Paris dan tidak mempunyai rasa percaya dan berani dalam diri.
"Jika kami mahu menang, kami perlu mengambil langkah yang besar. Perlawanan ini adalah langkah yang besar dan kami benar-benar bersemangat yang kami cuma 90 minit saja lagi daripada perlawanan akhir.
"Kami di sini untuk menang dan tunjuk kepada orang yang kami boleh ke perlawanan akhir. Kami pernah bangkit dalam perlawanan besar pada sebelum ini dan kami bersedia untuk melakukannya sekali lagi.
"Dalam perlawanan peringkat kumpulan, kami kalahkan PSG 2-0 dan itu adalah pasukan yang sama yang beraksi kecuali Ousmane Dembele dan Khvicha Kvaratskheli, jadi kami tak takut. Kami percaya, kami berhak berada di tahap ini," jelas Rice.
Arsenal berpeluang untuk mara ke perlawanan akhir UCL buat kali pertama sejak 2006 yang menyaksikan mereka tumpas kepada Barcelona.
Jika berjaya menumpaskan PSG, Arsenal berpeluang untuk mendapatkan kejuaraan pertama UCL sekali gus menjadikan musim The Gunners cemerlang selepas terlepas gelaran juara Liga Perdana Inggeris di tangan Liverpool. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram