[VIDEO] Kecewa aksi kurang padu jadi punca de Bruyne, Belgium kena boo fans sendiri


  • Podium
  • Khamis, 27 Jun 2024

De Bruyne (kiri) mengarahkan rakan sepasukannya meninggalkan padang selepas dicemuh penyokong sendiri. — Agensi

BELGIUM menamatkan saingan peringkat kumpulan dalam Kejohanan Euro 2024 di kedudukan kedua selepas hanya mengumpul empat mata daripada kesemua tiga perlawanan.

Satu kemenangan dan satu keputusan seri menyaksikan mereka berada di belakang pendahulu, Romania dengan hanya perbezaan jaringan membezakan kesemua empat negara berkenaan.

Namun, di sebalik kejayaan menempah slot dalam peringkat 16 pasukan terbaik, penyokong Belgium seakan-akan kurang berpuas hati dengan pencapaian berkenaan.

BACA LAGI: Bekas pengurus Man United buat kejutan bawa Austria ke pusingan kalah mati Euro 2024

BACA LAGI: [VIDEO] Euro 2024: Retak tulang pipi, kemenangan Hungary terpaksa 'dibayar dengan harga mahal'

Ini kerana mereka beranggapan skuad Belgium kali ini adalah yang serba lengkap dengan gabungan 'ubi muda' bersinar dan pemain berpengalaman.

Jadi, untuk menyuarakan kekecewaan tersebut, mereka yang hadir menyaksikan perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Ukraine pada awal pagi Khamis, mereka bertindak mencemuh anak-anak buah Domenico Tedesco.

Ini dapat disaksikan selepas perlawanan dengan pemain Belgium berjalan mengelilingi padang untuk menghargai ribuan penyokong mereka yang sanggup hadir menyaksikan aksi di MHPArena, Jerman.

Bagaimanapun, penghargaan mereka itu tidak dibalas seperti mana diharapkan selepas skuad The Red Devils diejek dan dicemuh atas persembahan pasukan yang berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Kecewa atas tindakan itu, kapten Belgium Kevin de Bruyne bertindak mengarahkan rakan sepasukannya untuk segera pulang ke bilik persalinan dan tidak mengendahkan perkara itu.

Tetapi, kemarahan penyokong diteruskan ketika nama pemain Manchester City tersebut diumumkan sebagai pemenang Anugerah Pemain Terbaik Perlawanan.

Malah, dalam beberapa keping foto dimuat naik, jelas menunjukkan de Bruyne seakan-akan sukar menerima sambutan diterima selepas perlawanan berkenaan.

Selepas ini, skuad The Red Devils bakal berdepan pasukan pilihan, Perancis yang menamatkan saingan Kumpulan D di tangga kedua dengan pertembungan itu bakal berlangsung di Arena Merkur Spiel pada 2 Julai. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram