
BEKAS pemain Kelantan, Fitri Omar yang juga pernah beraksi buat Kedah dan Terengganu kini dilaporkan sedang menerima rawatan di Hospital Kota Bharu, Kelantan akibat masalah kesihatan.
Hal itu dikongsikan di laman Facebook KSSM MARDI dengan menyatakan dia sedang dirawat selain mengharapkan semua pihak dapat membantunya supaya dapat kembali sihat segera.
"Sama-sama kita doakan buat kakitangan MARDI Kelantan Fitri Omar, sekarang sedang dirawat di Wad Hospital Kota Bharu. Semoga cepat sembuh, dipermudahkan segala urusan dan kembali sihat seperti biasa," tulisnya.
BACA LAGI: Keadaan MP Pulai semakin positif, jalani pembedahan buang hempedu
BACA LAGI: Andai tak jaga pundi hempedu, ini adalah masalah yang mungkin anda hidapi
Fitri Omar ketika beraksi buat skuad TRW.
Fitri pernah mewarnai arena bola sepak tempatan semasa bersama beberapa kelab, namun paling diingati adalah bersama skuad The Red Warriors (TRW) yang pernah disertainya sebanyak dua kali.
Selain itu, dia yang merupakan anak jati Sabak Bernam, Selangor pernah beraksi buat ATM FA ketika zaman kegemilangan pasukan tersebut yang menjuarai Liga Perdana 2012 dan Piala Sumbangsih pada musim berikutnya.
Dia juga pernah beraksi dalam liga amatur apabila menyertai BRM Kuala Kangsar FC pada Januari 2022, tetapi tidak dapat dipastikan sama ada tempoh dihabiskan di kelab itu berjaya atau sebaliknya.
Dalam perkembangan terbaru, nasib melanda Fitri yang berusia 39 tahun itu menerima perhatian TRW Treble 12 yang sudah menjenguknya selain sempat menghulurkan sedikit bantuan.
"Ziarah kasih ke rumah bekas pemain TRW, saudara Fitri Omar. Dia baru sahaja menjalani pembedahan membuang hempedu, pembedahan terpaksa dilakukan kerana terdapat batu dan jangkitan kuman di dalam hempedunya.
"Pihak Ex Trw Treble diketuai mantan pengurus pasukan, Azman Ibrahim dan turut disertai bekas pegawai media skuad TRW, Wan Badri dan bekas pemain yang diwakili saudara Zairul Fitree Ishak dan Daudsu Jamaluddin," tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram