LAZIMNYA ramai menganggap sakit pundi hempedu hanya akan dihadapi oleh individu berusia hingga menyebabkan ramai golongan muda mengambil remeh mengenainya.
Pundi hempedu atau gallbladder adalah organ yang terletak di bawah hati. Ia berfungsi sebagai tempat menyimpan hempedu yang dihasilkan oleh hati dan penting untuk penyerapan serta pencernaan lemak.
Biasanya seseorang yang mengalami masalah batu hempedu mempunyai pundi hempedu yang kurang berfungsi.
Pembentukan batu karang hempedu ditentukan oleh tiga komponen utama iaitu kolesterol, garam hempedu dan bilirubin. Bilirubin bermaksud pigmen hempedu berwarna kuning kemerahan yang terhasil akibat pemecahan hemoglobin yang boleh mengakibatkan penyakit demam kuning.
Berikut merupakan masalah yang melibatkan sakit hempedu:
1) Keradangan pundi hempedu
Cholecystitis atau keradangan pundi hempedu merupakan masalah yang sering dihadapi segelintir masyarakat. Hal tersebut dikaitkan dengan peningkatan pengambilan makanan berlemak.
Penyakit itu unik kerana ia melibatkan tiga organ badan iaitu hati, pundi hempedu dan pankreas.
Keradangan atau jangkitan hempedu yang berlaku boleh menjadi masalah kesihatan akut (jangka pendek) atau kronik (jangka panjang).
2) Batu hempedu
Gallstones adalah batuan kecil dan keras yang terbentuk dalam pundi hempedu yang mana boleh berkembang tanpa dikesan selama bertahun-tahun.
Batu tersebut boleh menyebabkan pelbagai masalah seperti radang, jangkitan dan kesakitan yang turut mengakibatkan kolesistitis akut.
Saiz batu hempedu sangat kecil tetapi ia boleh bertambah besar sehingga menyekat saluran keluar daripada pundi hempedu dan kebanyakan batu ini terhasil daripada kolesterol dalam hempedu.
Terdapat juga batu lain seperti batu pigmen terbentuk daripada kalsium bilirubin iaitu bahan kimia yang dihasilkan ketika badan memecahkan sel darah merah.
Pundi hempedu bermasalah sudah pasti mengakibatkan sakit perut yang teruk. — Agensi
3) Batu hempedu biasa
Sakit hempedu ini terjadi apabila wujud batu pada saluran hempedu biasa yang dikenali sebagai choledocholithiasis.
Dalam kebanyakan kes, sebenarnya batu tersebut berkembang pada gallbladder dan kemudian disalurkan ke saluran hempedu yang juga disebut sebagai batu sekunder.
Terdapat juga batu yang berkembang pada saluran hempedu dan dikenali sebagai batu primer, lebih berisiko menyebabkan jangkitan berbanding batu sekunder.
4) Polip
Polip pundi hempedu adalah ketumbuhan yang menonjol daripada lapisan bahagian dalam pundi hempedu dan biasanya dikesan melalui ultrabunyi.
Saiz polip pundi hempedu menentukan keadaan pesakit yang mana semakin besar polip tersebut maka semakin tinggi risiko kanser pundi hempedu.
Polip yang lebih besar itu berkemungkinan akan menjadi kanser dan jika terdapat pesakit berada dalam keadaan tersebut, doktor mengesyorkan untuk membuang pundi hempedu.
5) Nanah
Segelintir pesakit batu hempedu mungkin mengalami nanah pada organ tersebut dan keadaan sakit hempedu ini dikenali sebagai empyema.
Abses atau bengkak yang bernanah terhasil daripada gabungan sel darah putih, bakteria dan tisu mati boleh menyebabkan sakit perut yang teruk.
Jangkitan yang mula merebak boleh mengancam nyawa jika masalah kesihatan itu tidak dirawat.
Di samping itu, antara simptom berkaitan penyakit tersebut adalah seperti sakit di bahagian tengah atau kanan atas perut, mual atau muntah, demam menggigil dan perubahan pergerakan usus.
Bagi mengelakkan masalah kesihatan semakin teruk berlaku, dinasihatkan untuk menjauhi segala sajian makanan atau minuman yang mengandungi lemak tinggi. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,