
SESUATU yang menarik sedang berlaku di Kelantan apabila salah satu kelabnya, Kelantan Darul Naim FC (KDN) dalam usaha untuk melakukan revolusi yang dikatakan diketuai oleh Tan Sri Annuar Musa.
Revolusi tersebut dilihat bagus dengan langkah pertama yang dilakukan adalah menyelesaikan tunggakan gaji para pemain serta melantik Datuk Irwan Rizal sebagai ketua pegawai eksekutif yang baharu.
Usaha Sang Kijang Emas itu dilihat bagus terutamanya dalam memastikan kelab terus bersaing dalam Liga Super musim depan.
BACA LAGI: [VIDEO] Kelantan Darul Naim kembali bernafas, CEO baharu tekad mulakan musim tanpa hutang
Bagi pemerhati bola sepak tempatan, Afiq Rowley, usaha melakukan revolusi KDN itu tidak semestinya perlu berskala mega atau besar-besar. Sebaliknya, biarlah ia berterusan dan tidak hangat-hangat tahi ayam.
"Ia adalah suatu usaha yang bagus, cuma saya harap ia bukanlah sekadar hangat-hangat tahi ayam.
"Revolusi pun tak perlu terus buat besar-besaran. Mulakan dengan langkah-langkah penting dulu. Bina pasukan untuk stabil terutama daripada segi kewangan.
"Ia memerlukan proses pembentukan kembali dan untuk menghidupkannya, mereka perlu konsisten. Bukan kejar kejayaan segera," kata Afiq kepada Majoriti.
Usaha melakukan revolusi untuk KDN itu pasti disambut baik.
Namun begitu, mereka akan berdepan satu cabaran iaitu menarik sokongan penyokong di Kelantan untuk menyokong mereka.
Umum mengetahui skuad Kelantan FC atau The Red Warriors (TRW) mempunyai pengikut yang cukup ramai.
Ketika ia sedang menyepikan diri, cuma ada KDN namun itu tidak cukup untuk membuatkan mereka mengikut Sang Kijang Emas.
Kesetiaan penyokong terhadap TRW terlalu kuat.
Revolusi KDN boleh dianggap berjaya jika mereka berjaya bawa penyokong TRW menyertai Sang Kijang Emas.
"Bola sepak Kelantan ni unik. Majoriti daripada mereka tetap akan mencintai TRW. Tapi untuk memeriahkan kelab seperti KDN sekadar ala kadar sahaja. Bukan menafikan penyokong KDN, cuma majoriti yang saya tahu setia kepada TRW. Apa pun, saya harap kalau inisiatif baharu dibuat ini mampu menarik lebih ramai penyokong Sang Kijang Emas.
"Kalau nak tarik penyokong, KDN perlu melakukan tindakan patut sebagai sebuah kelab bola sepak. Seperti mengadakan program pembangunan yang tetap dan sentiasa berprestasi baik serta tiada isu-isu serius," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp Channel dan Telegram