'Saya ada keluarga nak ditanggung,' Faisal Halim mahu lupakan kes simbah asid, fokus bola sepak


  • Podium
  • Sabtu, 10 Mei 2025

Faisal hanya mahu fokus kepada bola sepak selepas detik hitam disimbah asid setahun lalu. — Agensi

PEMAIN Selangor FC, Faisal Halim berharap dirinya tidak lagi diganggu oleh pihak-pihak tertentu yang cuba menggugat ketenteraman dia dan keluarga.

Memetik laporan Malaysian Gazette, dia yang menjadi mangsa simbah asid setahun lalu hanya mahu fokus kepada karier bola sepaknya dalam usaha menyara keluarga.

Pemain Harimau Malaya itu tidak mahu ada pihak yang menganiaya dirinya lagi selepas melalui detik hitam dalam hidupnya.

BACA LAGI: Malaysia banyak labur terhadap Faisal Halim, Hannah Yeoh lega siasatan diteruskan

BACA LAGI: Selangor FC ada bincang, cuba bantu kes Faisal Halim — Peguam

Mengakui kecewa kerana kesnya dikelaskan sebagai "tiada tindakan lanjut" atau NFA oleh pihak polis, Faisal cuma mahu memandang ke depan dan cuba melupakan detik pedih itu.

"Saya ada keluarga, saya ada keluarga untuk ditanggung. Saya kejar impian sebagai pemain bola sepak ni bukan untuk mengejar kesenangan tapi untuk mengejar kejayaan.

"Saya terima dengan hati yang terbuka. Saya rela dan rasa ini adalah ruang untuk saya kembali semula dalam bola sepak.

"Kalau ada yang tak kena dengan saya, beritahulah, jangan aniaya saya. Saya tak ada salah silap dengan siapa-siapa, saya rasalah. Kalau kita ada buat salah silap, apa-apa pun, beritahulah daripada buat saya macam ini," kata Faisal.

Faisal yang sedang berusaha kembali ke prestasi sebenarnya sedang memasang impian untuk melihat namanya dalam senarai dipanggil oleh Peter Cklamovski bagi tugasan Harimau Malaya seterusnya.

Untuk mencapai impian itu, dia hanya mahu fokuskan diri kepada bola sepak sambil melepaskan urusan kesnya kepada pihak berkuasa.

"Apa yang saya boleh katakan, saya hanya fokus untuk kerja saya. Saya tak nak fikir lagi pasal kes ke, pasal NFA ke. Itu semua terpulang dan menjadi tanggungjawab pihak polis.

"Saya pun tak tahu. Saya tak pasti sama ada saya boleh terima keadaan ni atau tidak cuma kini hanya mahu fokus dalam kerjaya saya," jelas Faisal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp Channel dan Telegram