
BEKAS ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Tano Solari sah mengemudi kelab Argentina, Club Godoy Cruz.
Pelantikan jurulatih berusia 45 tahun itu diumumkan pengurusan Club Godoy Cruz menerusi satu kenyataan rasmi di platform media sosial mereka.
“Esteban Solari kini berada di La Bodega dan menyertai El Tomba! Selepas mengenali kelab, jurulatih baru Godoy Cruz bakal memulakan tugasnya bersama kelab Divisyen Pertama Argentina itu,” kata kelab dalam satu kenyataan.
BACA LAGI: Pep Guardiola lancar perang psikologi, anggap harapan Man City tipis aksi bertemu Real Madrid
BACA LAGI: Tayang pakai kit latihan nombor 24, Liridon sah sertai kelab Switzerland?
Godoy Cruz bertindak pantas membawa masuk Solari susulan prestasi buruk pasukan itu pada awal musim 2025.
Situasi itu menyebabkan pengurusan El Tomba bertindak memecat jurulatih sebelumnya, Ernesto Pedernera.
Untuk rekod, selain JDT, Solari pernah melatih kelab Chile, Everton de Vina del Mar.
Selepas pelantikannya disahkan, bekas jurulatih skuad remaja Rosario Central itu mengakui cukup teruja menyertai El Tomba.
"Saya cukup teruja dengan pengalaman baru ini dalam karier saya, untuk melakukannya di kelab ini yang juga satu institusi yang hebat.
"Kelab ini mempunyai corak permainan yang unik, sentiasa menekankan penguasaan bola yang baik dan itu sesuatu yang cukup menambat hati saya,” katanya.
Solari akan dibantu tiga staf kejurulatihan yang cukup dikenalinya iaitu Emerson Panigutti, Rodrigo Barrios dan Matias Navarro.
Ketiga-tiga figura itu mengikut jejak Solari meninggalkan Everton de Mina pada penghujung tahun 2024.
Sebelum ini, Solari turut dikaitkan akan menyertai revolusi baharu Harimau Malaya selepas meninggalkan Everton de Mina.
Namun khabar angin itu meleset selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) secara rasmi mengumumkan Peter Cklamovski sebagai pengendali baharu Harimau Malaya untuk menggantikan Kim Pan-gon. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram