Orang kuat kelab Borneo percaya kelab Liga Super perlu berubah, jangan hanya harap MFL


  • Podium
  • Ahad, 11 Mei 2025

MFL sudah melaksanakan pelbagai langkah dalam memastikan Liga Super berada dalam tahap terbaik.

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Kuching City FC, Iswandi Ali Hassan menyifatkan pelaksanaan penswastaan Liga Malaysia (Liga M) oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebagai satu langkah penting dalam membina masa depan bola sepak negara yang lebih profesional dan mampan.

Menurut Iswandi, inisiatif MFL sejak beberapa tahun kebelakangan ini jelas membuktikan kesungguhan mereka dalam membantu kelab-kelab membina asas yang kukuh, terutama dari segi kewangan dan struktur pengurusan.

“Saya melihat pelaksanaan penswastaan Liga M sebagai satu langkah positif dan penting untuk kemajuan bola sepak ke arah yang lebih profesional dan berdaya saing. Ia penting untuk membina kelab yang lebih kukuh, bukan sahaja dari segi kewangan tetapi juga dari aspek pentadbiran. 

BACA LAGI: 'Welcome to...', nama kelab Lembah Klang dicanang destinasi Aidil Sharin

BACA LAGI: Piala AFC: Sony Norde dipuji tak kedekut bola tapi Syahmi 'berat sungguh'

Iswandi (tengah) menyokong setiap usaha dan bantuan diambil MFL dalam membantu kelab tempatan.

“Dengan sistem yang ada sekarang, kelab boleh lebih berdikari dari segi kewangan. Tapi semua ini perlu datang daripada kesungguhan dalaman kelab itu sendiri dan perlu lebih kreatif," katanya.

Iswandi dalam masa sama memuji peranan aktif yang dimainkan MFL dalam memudahkan proses penswastaan, termasuk menerusi penganjuran bengkel, sesi libat urus dan garis panduan yang membantu kelab memahami serta mematuhi standard ditetapkan.

“Ya, MFL sangat membantu. Melalui bengkel dan sebagainya, mereka membuka ruang kepada kelab untuk memahami serta mematuhi standard yang ditetapkan. Proses perlesenan contohnya, memberi kami ‘tekanan positif’ untuk memperkemas struktur dalaman kelab,” jelasnya.

Namun begitu, beliau juga mengakui bahawa kejayaan usaha penswastaan ini tidak hanya terletak di bahu MFL semata-mata, sebaliknya bergantung kepada kesediaan setiap kelab untuk berubah.

Skuad The Cats diuruskan dengan cukup baik sejak beraksi dalam Liga Super. Facebook/Kuching City FC

“MFL proaktif dan banyak membantu, tapi akhirnya ia bergantung kepada kelab itu sendiri, sama ada mereka mahu berubah atau tidak," tambahnya. 

Jelas bahawa berdasarkan kenyataan Iswandi, ia sekali gus menolak dakwaan bahawa penswastaan menjadi punca kelab gulung tikar. Kuching City yang mengakhiri musim Liga Super 2024-2025 di tangga keempat adalah salah satu contoh terbaik yang boleh diambil.

Untuk rekod, The Cats ditubuhkan pada tahun 2015 dengan nama asalnya, Kuching FA, sebagai wakil kepada komuniti bola sepak di bandar Kuching, Sarawak. Kelab ini mula mencuri tumpuan apabila berjaya menjuarai Liga M3 pada tahun 2019, sekali gus melayakkan diri ke Liga Premier 2020.

Pada tahun 2020, selaras dengan usaha penswastaan liga, kelab ini menjenamakan semula sebagai Kuching City FC dan terus menunjukkan perkembangan positif dari segi pengurusan dan prestasi di atas padang.

Sejak itu, mereka menjadi antara kelab yang aktif dalam membangunkan struktur profesional serta memberi tumpuan kepada pembangunan bakat tempatan di Sarawak. — MFL

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram