'Welcome to...', nama kelab Lembah Klang dicanang destinasi Aidil Sharin


  • Podium
  • Jumaat, 21 Mac 2025

Di bawah kendalian Aidil Sharin, Kuching City FC berjaya menewaskan Selangor FC dalam saingan Liga Super 2024 baru-baru ini. — Facebook/Kuchingcityfc

NAMA Ketua Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak terus menjadi buah mulut penyokong The Cats apabila mendapat perhatian beberapa kelab lain.

Ia selepas pengendali kelahiran Singapura itu berjaya meletakkan Kuching City FC berada pada kedudukan empat teratas dalam saingan Liga Super musim ini.

Perkara itu dikongsikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kuching City FC, Iswandi Ali Hassan yang mengatakan bahawa kejayaan dicapai pasukan di bawah bimbingan Aidil menjadikan jurulatih berpengalaman itu sebagai individu dikehendaki pasukan lain.

BACA LAGI: Luis Garcia dianggap pemadam memori duka JDT di ACLE

BACA LAGI: 'Masih dalam skuad Harimau Malaya', Cklamovski jawab status 'hilang' Natxo Insa

Ketua Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak. — Facebook/Kuchingcityfc

Menurutnya, pihak Kuching City tidak menafikan bahawa terdapat kelab lain turut menunjukkan minat untuk mendapatkan khidmat Aidil ketika ini.

Sejak dilantik pada Ogos 2023, impak dibawa Aidil Sharin bersama Kuching City FC amat ketara apabila pasukan tersebut mula digeruni tidak sampai dua musim beraksi dalam Liga Super.

Kesan utama dapat disaksikan apabila dia berjaya membawa kelab Borneo tanah air itu ke pentas akhir MFL Challenge Cup musim lalu, namun tewas kepada juara, PDRM FC.

Khabar angin mengenai masa depan Aidil semakin kencang apabila nama Selangor FC sering dipetik sebagai destinasi Aidil seterusnya.

Ini kerana, kejayaan Katsuhito Kinoshi dalam MFL Challenge Cup belum cukup untuk memastikan dia kekal sebagai pengendali pasukan, terutama dengan prestasi yang tidak konsisten di bawah bimbingannya.

"Welcome to Selangor FC coach," kata Brader Ayien Avles.

"Mungkin lebih sesuai ke Selangor FC, prestasi macam tak menentu di bawah Katsuhito Kinoshi," kata Arif Zakaria.

"Selangor perlukan jurulatih berpengalaman dan Aidil Sharin antara calon tepat," kata Aniq.

Bagaimanapun, impian beberapa kelab yang ingin mendapatkan khidmat Aidil nampaknya tidak berhasil.

Menurut Iswandi, pengurusan Kuching City FC dan Aidil masih komited untuk kekal bersama pasukan bagi meneruskan misi mereka dalam saingan liga musim ini.

Menurutnya, walaupun ada minat daripada kelab luar, pengurusan kelab tetap berkomitmen untuk mengekalkan Aidil bagi memastikan kestabilan pasukan dalam menghadapi cabaran musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram